KUALA NERUS: Sebuah sekretariat bersama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri ini perlu ditubuhkan supaya parti-parti dalam kedua-dua gabungan politik itu bergerak sebagai satu pasukan menghadapi pilihan raya akan datang.
Syor itu dicapai menerusi program Mesra Semeja anjuran Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu (Muafakat) yang dihadiri pemimpin PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO di sini, malam tadi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas perjumpaan itu, Muafakat memaklumkan pertubuhan itu sebelum ini membuat perjumpaan dengan semua kepemimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri ini.
“Banyak isu dibincangkan termasuk keperluan memperkasa kerjasama antara ketiga-tiga parti ini bergerak sebagai satu pasukan bagi mencapai misi bersama iaitu kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Justeru itu, dicadangkan sebuah sekretariat bersama PH-BN di peringkat negeri ditubuhkan secepat mungkin bagi menyelaraskan segala dasar, program dan aktiviti secara terselaras dari peringkat paling atas sehingga ke peringkat akar umbi, khususnya jentera Pusat Daerah Mengundi nanti,” katanya.
Majlis Mesra Semeja itu turut dihadiri Pengerusi PH Terengganu, Hasbie Muda; Pengerusi PKR negeri, Dr. Zainuddin Awang; Penolong Setiausaha UMNO Terengganu, Bazlan Abd. Rahman dan Pengerusi Muafakat, Datuk Muhatar Abdullah.
Muafakat adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang peka terhadap isu-isu semasa negara khususnya melibatkan politik, pentadbiran dan kebajikan.
Sementara itu, Muafakat mencadangkan supaya manifesto bersama PH-BN Negeri Terengganu disiapkan lebih awal bagi memperinci tawaran dan agenda yang lebih baik kepada rakyat berbanding pentadbiran kerajaan negeri sedia ada di bawah Perikatan Nasional (PN).
“Kita bersedia membantu menyiapkan manifesto berkenaan dan mencadangkan slogan bersama iaitu ‘Harapan Rakyat, Masa Depan Terengganu’ digunakan mulai sekarang,” katanya. – UTUSAN










