PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan tular di media sosial bahawa seorang wanita meninggal dunia selepas mengambil produk suplemen.
Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) KKM dalam kenyataan berkata, semakan awal mendapati produk berkenaan dijual di beberapa platform e-dagang.
“Produk itu mengandungi bahan aktif Glutathione yang disenaraikan dalam Negative List di bawah Drug Registration Guidance Document (DRGD).
“Produk ini tidak mematuhi Seksyen 13B (2) (d) Akta Makanan 1983 yang melarang penambahan bahan tidak dibenarkan dalam makanan.
“PKKM sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan isu ini termasuk kesahihan dakwaan dan perincian produk makanan yang terlibat seperti kepatuhan pelabelan, bahan ramuan yang digunakan, premis pengeluar, pengimport serta pengedaran di pasaran tempatan,” katanya.
Terdahulu, pengguna di platform Threads mendakwa, seorang wanita meninggal dunia selepas memakan suplemen berharga RM20, kononnya boleh mencerahkan kulit yang dijual di media sosial.
PKKM KKM berkata, usaha turut dijalankan untuk mengesan sumber asal dakwaan di media sosial bagi mengesahkan kesahihan maklumat.
“Berdasarkan carian awal, tiada sebarang kiriman daripada keluarga terdekat atau kenalan yang mengesahkan berlaku kematian seperti didakwa.
“PKKM turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 03-88850796 atau e-mel ke [email protected],” katanya.










