Isu lambakan sampah di Pulau Redang, Terengganu dikhuatiri menjejaskan reputasi Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Tinjauan di Kampung Baru mendapati longgokan sampah berhampiran jeti nelayan berpunca daripada sistem kutipan kontraktor pembersihan yang kurang efisien sejak beberapa tahun lalu. Walaupun masalah serupa pernah diatasi selepas aduan dibuat, kini ia kembali meruncing kerana kontraktor didakwa hanya melupuskan sebahagian sisa.
Selain sisa domestik, tinjauan Mingguan Malaysia dari Jeti Merang mendapati Jeti Kampung Baru turut dicemari sisa dari Vietnam dan Thailand yang dihanyutkan arus. Tindakan segera amat diperlukan agar keindahan pulau ini tidak sekadar tinggal paparan visual dalam promosi pelancongan.

















