WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berlepas dari Sidang Kemuncak Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turkiye awal bulan ini menggunakan pesawat rasminya, Air Force One yang lama berikutan timbulnya ancaman terhadap beliau dari Iran dan kumpulan proksi sekutunya, menurut pegawai AS.
Menurut laman berita CBS News kelmarin, pegawai berkenaan memberitahu bahawa AS telah mengesan plot untuk menembak peluru berpandu ke arah pesawat presiden.
Sebaik sahaja menerima maklumat perisikan tersebut, Perkhidmatan Rahsia AS (USSS) dengan pantas bertukar kepada pelan sandaran.
Berita berhubung ancaman daripada proksi Iran itu pertama kali dilaporkan oleh The New York Times.
Sebelum itu, Trump terbang ke ibu negara Turkiye, Ankara, menggunakan pesawat Air Force One baharu.
Pesawat itu adalah sebuah Boeing 747-8 bernilai AS$400 juta (RM1.6 bilion) yang diterima oleh AS sebagai hadiah dari kerajaan Qatar tahun lalu dan telah melalui proses pengubahsuaian selama beberapa bulan bagi tujuan keselamatan presiden.
Namun, selepas sidang kemuncak itu berakhir, Trump berlepas dari Ankara, Turkiye ke United Kingdom menggunakan Air Force One lama, sebelum bertukar semula ke pesawat baharu bagi melengkapkan penerbangan pulang ke AS.
Pertukaran pesawat secara mendadak itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pesawat baharu presiden.
Pada masa itu, CBS News melaporkan bahawa beliau menggunakan pesawat lama atas cadangan USSS sebagai langkah berjaga-jaga di tengah-tengah konflik AS-Iran.
Sumber yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu memberitahu CBS News awal bulan ini bahawa pesawat lama Air Force One dilengkapi teknologi laser untuk menyilaukan peluru berpandu ketika menghampirinya. – AGENSI










