Sultan Nazrin zahir penghargaan kepada seluruh pemimpin, rakyat - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin zahir penghargaan kepada seluruh pemimpin, rakyat

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa bersama baginda dalam melaksanakan amanah sebagai Amirulmukminin atau pemimpin umat Islam.

Baginda bertitah, persepakatan yang dizahirkan semua pihak termasuk Raja Muda Perak, Raja Di Hilir Perak, Raja Bergelar, waris negeri, kerabat diraja, orang besar dan ahli Dewan Negara amat dihargai dalam mengurus tadbir negeri ini.

Baginda turut merakam penghargaan kepada pelbagai pihak yang bersama-sama membantu melaksanakan amanah pemerintahan negeri dengan penuh bertanggungjawab.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri, para hakim, ulama dan umara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan-badan beruniform, para penghulu, imam, pemimpin agama serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang telah menyempurnakan amanah supaya negeri ini dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.

“Demikian jua penghargaan beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan dan warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-69 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Sultan Nazrin dalam titahnya turut menyeru seluruh rakyat agar terus berpegang kepada rahmat dan perlindungan Ilahi dalam melaksanakan kebaikan serta menegakkan kebenaran demi membina negara bangsa yang bersatu, aman dan makmur.

“Ya Ghaffar, Ya Latif, Ya Qayyum, Ya Salam. Hambamu memohon ihsan darimu agar dikurniakan hikmah, dianugerahkan taufik, dilimpahkan hidayah untuk berupaya memenuhi amanahmu melaksanakan pemerintahan secara adil lagi saksama, memiliki kekuatan menegakkan yang makruf dan memiliki kecekalan mencegah yang mungkar.

“Semoga negeri Perak Darul Ridzuan sentiasa mendapat lindungan darimu jua, semoga hambamu dan sekalian rakyat jelata dilimpahi keselamatan dunia dan kebaikan akhirat,” doa baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN