BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membiaya hidangan makanan tengah hari kepada 9,900 prospek yang sedang menjalani hukuman di tujuh institusi penjara di negeri ini sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-69 yang disambut hari ini.
Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab. Wahab Azizul Hassan berkata, Sultan Nazrin sentiasa menunjukkan keprihatinan dan kasih sayang terhadap nasib serta kebajikan prospek di penjara di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, sumbangan baginda meliputi Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional Batu Gajah, Pusat Koreksional Chenderiang, Penjara Satelit Kuala Kangsar dan Rumah Perantaraan Negeri Perak.
“Negeri Perak amat bertuah dinaungi seorang Sultan yang berjiwa rakyat dan berhati mulia. Baginda tidak jemu memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama.
“Para prospek yang berada di sebalik tirai besi ini adalah insan-insan yang pernah terkhilaf melangkah, namun pintu taubat sentiasa terbuka, dan mereka amat wajar diberikan peluang kedua untuk membina semula lembaran hidup baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan dan Minuman Kepada Prospek Sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Ke-69 di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah dan Tanah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori, serta Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara, S. Tanabal.
Sementara itu, Tanabal berkata, Sultan Nazrin berkenan menyumbangkan RM118,800 bagi tujuan penyediaan makanan dan minuman kepada prospek di tujuh institusi penjara berkenaan.
“Sumbangan tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan jasmani penghuni, malah menjadi lambang kasih dan keprihatinan seorang Raja terhadap rakyat.
“Ia juga dilihat menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan serta pembentukan insan lebih baik, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan dasar pemulihan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya. – UTUSAN










