Suhaimi yakin PN tawan kawasan bandar Sabah

Suhaimi yakin PN tawan kawasan bandar Sabah

SUHAIMI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Calon Perikatan Nasional (PN) Tanjung Aru, SUHAIMI BUANG tampil dengan keyakinan tinggi bahawa landskap sokongan pengundi di kawasan itu semakin memihak kepadanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR, meskipun berdepan saingan sembilan penjuru, beliau percaya momentum politik kali ini menawarkan ruang terbaik untuk PN merampas Tanjung Aru.

UTUSAN: Sejauh mana keyakinan masyarakat Tanjung Aru mengundi PN?
SUHAIMI: Terdapat lebih 12,000 pengundi Melayu Islam di Tanjung Aru. Jadi, saya optimis sokongan padu daripada kelompok ini mampu menjadi kelebihan besar buat saya.
Walaupun sebelum ini Warisan merupakan penyandang, masyarakat sudah pun merasai pentadbiran di bawah Warisan. Kali ini saya yakin mereka inginkan perubahan.

Maksudnya, PN ada kelebi­han berbanding parti lain di Tanjung Aru?
Walaupun dari segi kempen kita kalah, ia tidak menjadi masalah buat saya dan calon PN lain. Yang penting kita harus menyantuni masyarakat setempat dan kita tahu apa yang harus dibuat apabila mandat diberi. Pada saya, keutamaan itu adalah rakyat, selebihnya kita serahkan kepada pengundi untuk memilih terbaik di Tanjung Aru ini.

Sembilan penjuru memberi laluan mudah untuk menang?
Kita sedia maklum, mungkin ada undi protes daripada kalangan penyokong BN yang tidak dapat bertanding kerana isu DAP yang mengambil kerusi di situ. Jadi, ia ternyata sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada saya.
Malah, melihat dari segi penerimaan rakyat, seperti semalam saya masuk ke pulau, ada tiga kampung. Mereka menjelaskan ingin kepimpinan Melayu di sini. Jadi saya yakin sambutannya sangat menggalakkan.

Perkara utama yang perlu diperbaiki di Tanjung Aru?
Antara kelemahan sepanjang dua penggal Warisan memegang kawasan ini berdasarkan komen penduduk adalah soal bantuan. Mereka mendakwa bantuan diberikan secara pilih kasih, tidak sama rata. Contohnya, di Pulau Gaya ada jambatan simen, tetapi di kawasan sebelah sini yang cenderung menyokong PN, jambatannya tidak disimen dan sangat teruk.
Jadi pada saya ia perlu diperbetulkan kerana bantuan seharusnya disalurkan tidak mengikut kecenderungan politik.

Warisan pesaing utama berbanding calon lain?
Saya tidak merasakan begitu kerana setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri termasuk saya yang mewakili PN. Pengaruh bapa saya banyak memainkan peranan sepanjang berkempen ini kerana beliau merupakan bekas tentera. Jadi Tanjung Aru ini sememangnya dekat di hati saya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN