Suami maut ditembak 18 das depan isteri sarat mengandung

Suami maut ditembak 18 das depan isteri sarat mengandung

AHLI keluarga dan penduduk kampung mengangkat jenazah Mohd Fuad Fahmie Ghazali, yang ditembak di Golok, Thailand untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, Pasir Mas.-FOTO/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Suasana tenang di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand, petang kelmarin bertukar ngeri apabila seorang wa­nita sarat mengandung hanya mampu menjerit dan mendakap suaminya yang rebah selepas ditembak 18 das oleh dua lelaki yang dikenalinya.

Mangsa, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, ditembak bertubi-tubi ketika sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di halaman rumahnya kira-kira pukul 6.40 petang waktu Thailand.

Isterinya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, berkata, dua lelaki tersebut datang dari arah belakang sebelum bertindak melepaskan tembakan menggunakan pistol masing-masing ke arah suaminya tanpa sebarang amaran.

“Ketika itu suami sedang memasang CCTV di luar rumah. Tiba-tiba dua lelaki datang dan terus melepaskan tembakan bertubi-tubi.

“Saya hanya mampu menjerit dan berlari ke arah suami sebelum memeluknya yang sudah rebah berlumuran darah. Kedua-dua mereka terus menembak sehingga peluru habis, kemudian berlalu pergi begitu sahaja tanpa rasa bersalah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam di sini, semalam,

Wan Fatihah memberitahu, selepas kedua-dua suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta, dia menjerit meminta pertolongan daripada jiran sebelum suaminya dibawa ke Hospital Sungai Golok.

“Suami ditembak di bahagian leher dan tubuh. Doktor memaklumkan terdapat 18 kesan tembakan di badannya,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Ahmad, 55, mendakwa kedua-dua suspek dalam kejadian itu merupakan abang dan adik sepupu kepada Wan Fatihah sendiri.

Katanya, hubungan keluarga mereka sebelum ini baik namun difahamkan terdapat beberapa pertikaian kecil yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa Thailand.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam selepas dibawa pulang dari Hospital Sungai Golok.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Mohd. Fuad yang juga rakyat Malaysia meninggal dunia malam tadi selepas dipercayai ditembak sebanyak lapan kali sebelum disahkan terkena 18 das tembakan keseluruhannya.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Golok pada pukul 9 malam.

Ibu Allahyarham, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, dia menerima berita pemergian anaknya selepas menerima panggilan telefon daripada menantunya pada malam kejadian.

“Saya tidak sangka dia pergi dengan cara begitu. Dia anak yang baik dan tidak pernah bersengketa dengan sesiapa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Polis Wilayah Narathiwat ketika dihubungi berkata, suspek dikenali sebagai Haris Samae, 31, yang melarikan diri menggunakan sebuah pikap selepas kejadian.

“Gambar suspek telah diperoleh. Kamera televisyen tertutup (CCTV) juga telah mengesan pikap jenis Toyota Vigo dengan nombor pendaftaran Narathiwat, yang digunakan untuk me­larikan diri.

“Gerakan memburu suspek masih diteruskan di sekitar wilayah ini. Kami menjangka suspek akan ditangkap tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, dua suspek yang terbabit merupakan sepupu kepada isteri mangsa.

Ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, semasa kejadian kedua-dua suspek hanya memakai topi bagi mengelakkan daripada dikesan.

“Saya lihat sendiri bagaimana dua beradik itu datang dan menyerang arwah dengan menggunakan pistol masing-masing.

“Ketika kejadian, isteri serta bapa mentua arwah turut berada di dalam rumah,” katanya ketika pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam di sini semalam.

Ahmad memberitahu, sebelum kejadian arwah sempat menunaikan solat maghrib.

“Sebelum kejadian arwah menghubungi saya memandangkan sudah beberapa bulan tidak berjumpa dan saya kemudiannya berkunjung di rumahnya malam tadi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN