SABAK BERNAM: Seorang suami maut manakala isterinya cedera selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua buah lori treler dekat Jalan Tebuk Marso di Kampung Tebuk Marso, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa Muhammad Hasib Hanafi Mohd. Hisham, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan sementara isterinya Siti Soleha Abdullah, 26, yang sarat mengandung tujuh bulan alami cedera ringan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.49 pagi berhubung insiden tersebut.
Katanya, pasangan suami isteri itu menaiki lori jenis Volvo yang membawa muatan 36 tan metrik besi sementara lori treler jenis Hino pula membawa kontena.
“Komander operasi melaporkan wanita itu tersebut dan berjaya dikeluarkan oleh orang ramai sebelum ketibaan pasukan penyelamat sementara suaminya tersepit dan tidak sedarkan diri.
“Sementara pemandu lori Hino itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, mangsa yang cedera dibawa oleh ambulans ke hospital berhampiran sementara mayat suami diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ashrul Riezal menambah, dalam operasi menyelamat itu, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah fire rescue tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar. – UTUSAN










