JERANTUT: Penduduk di Ulu Tembeling di sini mula berdepan dengan banjir apabila air Sungai Tembeling melimpah masuk ke dataran perniagaan dan jeti di Kampung Bantal di sini hari ini.
Solat Subuh yang berkemundang di masjid kampung tersebut disambut dengan siren amaran dibunyikan pada pukul 5.45 pagi.
Ia sekali gus mengejutkan penduduk yang sedang nyenyak tidur dan bergegas bangun melihat air Sungai Tembeling melimpah memenuhi dataran kedai kopi, jeti bot penambang dan beberapa buah kediaman pesisir sungai tersebut.
Bacaan awal penyukat banjir Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di situ pada pukul 6.42 pagi ini, iaitu air Sungai Tembeling sudah mencapai paras 104.96 meter manakala paras 105.70 meter menunjukkan amaran bahaya pada pukul 8.26 pagi.
Kejadian itu berlaku berikutan lebat tberterusan sejak kelmarin di kawasan pedalaman hulu menyebabkan paras air dua batang sungai utama, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di Ulu Tembeling naik mendadak seperti lazimnya berlaku tahun sebelum ini.
Berasaskan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijangka berterusan di Pahang membabitkan kawasan pedalaman termasuk Jerantut antara terkesan sejak semalam.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 46, berkata, air Sungai Tembeling naik mendadak petang semalam dan arus deras yang menghanyutkan kayu reput dan reba pokok.
“Namun tidak sangka pula air memenuhi dataran kampung kami pada awal pagi ini apabila terdengar siren amaran JPS sehingga mengejutkan penduduk yang sedang tidur.
“Keadaan ini memungkinkan limpahan air memenuhi dataran perniagaan kampung ini apabila air Sungai Tembeling bertembung dengan aliran Sungai Sepia semakin meningkat dijangka pada tengah hari ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Jamizan, tiada mangsa yang berpindah kerana beberapa buah rumah dan kedai kopi yang terletak di pesisir sungai itu menggunakan tong pelampung dan timbul serta tidak hanyut kerana ditambat pada pokok besar.
Sementara itu, peniaga kedai kopi, Norhisam Nahari, 55, berkata, dia sudah membuat persiapan awal sejak hujan lebat semalam dengan menempatkan peralatan dapur, bahan masakan dan minuman ke atas meja yang tinggi, dan tidak bimbang kerana kedainya dipasang tong pelampung supaya tidak tenggelam ketika banjir.
“Saya dan penduduk di sini tidak panik kerana sudah tahu airmelimpah memandangkan pada awal malam (tadi) semalam paras air Sungai Tembeling mulai meningkat melepasi tangga jeti bot kampung ini,” katanya.
Norhisam berkata, kejadian banjir di kawasan Ulu Tembeling kemungkinan memakan masa yang lama memandangkan keadaan masih hujan lebat dan paras air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di Kampung Gusai meningkat dan arus deras. – UTUSAN











