TEMERLOH: Tindakan licik sekumpulan lelaki yang aktif memecah masuk kedai, bengkel dan stor di sekitar Temerloh dan Mentakab, di sini terbongkar selepas polis menahan empat suspek dalam dua serbuan, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahrón berkata, semua suspek lelaki tempatan berusia antara 18 tahun hingga 39 tahun itu ditahan dalam operasi khas dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh antara pukul 10.30 malam hingga 12 tengah malam, pada 6 November lalu.
Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas seorang pemilik bengkel radiator di Simpang Songsang mendapati pintu belakang premisnya diumpil dan kunci mangga dipotong pada pagi hari sama.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 150 tangki radiator pelbagai jenis dan saiz serta 200 set penutup radiator tembaga hilang, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM60,000.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada lewat malam atau awal pagi. Suspek dipercayai menggunakan lori untuk mengangkut barang-barang curi dari lokasi kejadian,” katanya hari ini.
Kata beliau, hasil risikan dan soal siasat ke atas semua suspek membawa kepada rampasan sebuah lori merah jenis Daihatsu, dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah kedai itu.
Menurut Mohd. Nasyim, hasil maklumat lanjut susulan tangkapan turut membawa kepada penemuan semula sejumlah tangki radiator di dua premis barang lusuh di Mentakab dan Triang, selain beberapa bateri kenderaan yang disembunyikan di sebuah rumah di Temerloh.
“Dengan penahanan suspek ini, polis menyelesaikan tujuh kes pecah kedai, stor dan kilang yang dilaporkan di kawasan industri Mentakab dan Temerloh sejak awal Oktober hingga awal November lalu,” katanya.
Semua suspek kini direman hingga 13 November 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










