Sime Darby Property, SD Guthrie bangunkan hab industri generasi baharu di Selangor - Utusan Malaysia

Sime Darby Property, SD Guthrie bangunkan hab industri generasi baharu di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) dan SD Guthrie Berhad (Guthrie) memeterai kerjasama strategik bagi membangunkan hab industri dan logistik generasi baharu di Kuala Selangor menerusi pelan induk pembangunan seluas kira-kira 1,214 hektar.

Menurut kenyataan, usaha sama 50:50 itu akan dimulakan dengan pembangunan fasa pertama melibatkan kawasan seluas 405 hektar di estet Guthrie yang terletak di Jalan Acob, Bukit Kerayong dan Bukit Cherakah. 

“Kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah kenderaan tujuan khas (SPV) bagi mengurus pelaksanaan projek berkenaan.

“Pembangunan tersebut terletak di lokasi strategik berhampiran kawasan perindustrian utama, hanya 40 minit dari Pelabuhan Klang dan berdekatan perbandaran Bandar Bukit Raja (BBR) milik Sime Darby Property. 

“Ia turut dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan utama termasuk Lebuhraya Pesisir Barat (WCE) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal siap tidak lama lagi,” katanya. 

Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, usaha sama itu mengukuhkan hala tuju strategik baharu Guthrie untuk membuka nilai pegangan tanah syarikat selain menyokong pembangunan mampan di Selangor.

“Guthrie telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dengan aset-aset nasional seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dibangunkan di atas tanah milik kami dahulu.

“Usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk terus menyokong aspirasi nasional sambil memastikan nilai kepada pemegang saham terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada syarikat melaksanakan perancangan induk secara menyeluruh dalam membangunkan bandar masa depan yang sejajar dengan permintaan industri dan logistik baharu.

“Konektiviti strategik yang komprehensif akan memperkukuh kedudukan Sime Darby Property dalam menyediakan penyelesaian industri bersepadu bagi menyokong rantaian bekalan serantau serta industri berimpak tinggi,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama strategik dengan Guthrie itu juga memperkukuh kedudukan kedua-dua syarikat dalam menjana nilai jangka panjang serta memperteguh peranan Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan industri negara.

“Pembangunan berkenaan akan memanfaatkan kepakaran Sime Darby Property dalam membangunkan ekosistem industri lestari bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh landskap industri dan logistik di negeri tersebut.

“BBR yang dibangunkan Sime Darby Property sebelum ini merupakan antara projek rujukan utama dengan 60 peratus tanahnya diperuntukkan untuk sektor perindustrian. Ia juga menjadi pusat perindustrian terurus pertama di Malaysia menerima penarafan GreenRE Platinum serta destinasi pilihan syarikat multinasional,” tambahnya. 

Kolaborasi terbaharu itu juga meneruskan momentum usaha sama Guthrie–Sime Darby Property di Pulau Carey yang diumumkan awal tahun ini, sebagai sebahagian daripada strategi mewujudkan koridor pertumbuhan dari Klang dan Kapar hingga ke Pulau Carey.

Dengan rancangan kerajaan membina pelabuhan baharu di perairan Pulau Carey bersebelahan Pelabuhan Klang dan Pulau Indah, Selangor dijangka terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab maritim dan logistik utama negara.

Pembangunan koridor ini selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) yang menekankan pertumbuhan industri berasaskan inovasi dan kelestarian, selain berpotensi menjana kesan sosioekonomi positif kepada komuniti setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN