PETALING JAYA: Langkah Parti Impian Sabah (PIS) yang pertama mencuba nasib bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan meletakkan 72 kerusi bukan dibuat secara semberono, sebaliknya atas permintaan rakyat di seluruh negeri.
Presiden PIS, Michel Alok@Ilok berkata, meskipun baru ditubuhkan pada tahun 2023, sokongan yang diterima di seluruh Sabah membuktikan rakyat mahukan gerakan politik baharu.
“Pada dasarnya, PIS adalah parti untuk semua rakyat Sabah. Ketika kami turun memberi penerangan kepada rakyat, mereka tidak mahu terabai dan tertinggal daripada perjuangan Impian. Mereka mahu PIS bertanding di kawasan mereka.
“Oleh itu, sebagai Presiden, saya bertanggungjawab merealisasikan permintaan rakyat di setiap DUN Sabah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Minggu lalu, PIS yang beralamat di Sandakan meletakkan 72 calon untuk merebut 73 kerusi DUN Sabah dalam PRN Sabah iaitu merupakan satu jumlah besar bagi sesebuah parti politik.
Selain PIS, antara meletakkan calon teramai iaitu Parti Warisan Sabah 73 calon diikuti Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 55 kerusi, Parti Solidariti Tanah Airku (46) manakala Barisan Nasional pula 45 kerusi.
Michel berkata, keyakinan PIS bertanding PRN Sabah bukan sekadar berasaskan jumlah calon ditampilkan, tetapi kepada sentimen jelas dalam kalangan majoriti pengundi, khususnya pengundi muda.
Katanya, dalam kalangan mereka mahu barisan pemimpin baharu berintegriti dan mampu membawa perubahan besar kepada Sabah.
“Rakyat mahukan sebuah parti yang benar-benar bebas rasuah, memperjuangkan hak Sabah tanpa kompromi dan tidak bergantung kepada kuasa politik luar,” katanya. – UTUSAN










