Semua fasiliti kesihatan awam dilengkapi sistem EMR menjelang 2029

Semua fasiliti kesihatan awam dilengkapi sistem EMR menjelang 2029

DZULKEFLY Ahmad menyampaikan Anugerah Tokoh Wira Madani kepada Pakar Perunding ‎Edokrin Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Zanariah Hussein pada majlis Jelajah Wira Madani @25 Tahun Hospital Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua 150 hospital awam dan lebih 3,000 fasiliti kesihatan primer di seluruh negara akan dilengkapi sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) menjelang 2029.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan menyeluruh EMR akan dibuat secara berfasa bermula tahun depan melibatkan 16 hospital, diikuti 25 hospital pada 2027, 46 hospital (2028) dan 49 hospital pada 2029.

Beliau berkata, EMR dilaksanakan melalui dua komponen utama, iaitu Cloud-base Clinical Management System (CCMS) bagi klinik kesihatan dan Hospital Information System (HIS) bagi hospital.

“Setakat ini, sebanyak 160 klinik kesihatan di seluruh negara telah dilengkapi dengan sistem CCMS dan ia dan disasarkan meningkat kepada 200 klinik sebelum akhir tahun ini,” katanya selepas menyempurnakan Program Jelajah Wira MADANI sempena sambutan Jubli Perak, Ulang Tahun Ke-25 Hospital Putrajaya (HPj) di sini hari ini.

Katanya, usaha bersepadu ini adalah sebahagian daripada aspirasi kementerian untuk mencapai konsep ‘satu rakyat, satu rekod kesihatan’ di seluruh negara menjelang tahun 2029.

Jelasnya lagi, ini menjadi bukti komitmen kementerian dalam memodenkan sistem kesihatan negara melalui digitalisasi yang menyeluruh dan berkesan.

“Pelan pendigitalan ini bakal memperkukuh saling keboleh kendalian antara fasiliti, mempercepat analitik kesihatan berimpak tinggi, dan memacu transformasi digital sistem kesihatan negara dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN