LIKAS: Barisan Nasional (BN) kekal berpegang pada tradisi menyelesaikan sebarang isu secara dalaman tanpa pertelagahan secara terbuka.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, fokus utama ketika ini adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan sebarang pertemuan atau perbincangan berkaitan isu dalaman dibuat selepas proses pilihan raya selesai.
“Kita akan berjumpa, sebab semangat BN seperti itu. Kita tidak akan berkelahi di luar.
“Kita akan selesaikan selepas PRN, kita akan berjumpa, bincang-bincang, minum kopi,” katanya ketika ditemui selepas Program Lawatan ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) di sini semalam.
Sebelum ini, MIC menyatakan kesediaan bertemu dengan kepimpinan BN sekiranya dipelawa bagi membincangkan masa depan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, MIC tidak pernah menganggap BN mahupun UMNO sebagai musuh dan setakat ini belum ada sebarang jemputan untuk mengadakan pertemuan.
Perhimpunan Agung Tahunan MIC Ke-79 baru-baru ini memutuskan untuk menyerahkan keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk ditetapkan sama ada kekal atau keluar daripada BN.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) menyambut baik tindakan perwakilan MIC yang mahu parti tersebut mengakhiri penyertaannya dalam BN hampir 80 tahun lalu.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan yang dibuat oleh perwakilan dalam perhimpunan agungnya baru-baru ini adalah pendirian MIC itu sendiri.
Beliau mendakwa, tindakan tersebut menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap gabungan yang memerintah negara lebih 60 tahun itu semakin merosot.
“Itu juga berlaku dalam UMNO apabila sokongan merosot. Sebagai antara parti tertua di Malaysia, MIC juga mahu mendapat jaminan daripada rakan-rakan kongsi bagi memastikan masa depan mereka terjamin, bukan dibuli,” ujarnya. – UTUSAN










