DUNIA seni tanah air Selasa lalu kehilangan sebutir lagi permata. Pemergian Dharma Harun Al-Rashid menemui pencipta mengejutkan ramai pihak.
Sekian lama berperang dengan masalah kesihatan, Allahyarham pada 25 November lepas menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun.
Dharma dikenali sebagai anak seni serba boleh yang berjiwa besar. Minat dan kecintaannya terhadap dunia perfileman cukup menebal.
Aktor kelahiran Ipoh, Perak ini benar-benar meledak selepas kemunculannya menerusi filem Adik Manja.
Tidak hanya memiliki ketampanan paras rupa, Allahyarham juga berkebolehan menjadi pelakon. Bakat beliau dikenal pasti dan digilap Othman Hafsham yang merupakan sutradara filem Adik Manja.
Era 80-an menyaksikan kegemilangan karier lakonan Allahyarham. Dharma yang dahulunya tidak memasang angan-angan bergelar pemain wayang akhirnya menyinar kerana bakat terpendam.
Susulan kejayaan Adik Manja, Dharma meraih kepercayaan ramai sutradara lalu diangkat sebagai hero filem.
Antara naskhah dilakonkannya selepas Adik Manja adalah Mama Oh Mama pada 1981, Langit Petang dan Sikit Punya Gila (1982), Ke Medan Jaya dan Aku Yang Berhormat (1983) serta Talak (1984).
Pemilik nama sebenar Mohamad Azman Harun Arashid ini juga pernah melakar sejarah tersendiri menerusi pembabitan dalam beberapa filem luar negara seperti filem Indonesia, Lukisan Berlumur Darah (1988) dan dua buah filem Hollywood iaitu Fifty/Fifty (1992) dan Anna and the King (1999).
Sebanyak 15 filem, dua telefilem dan dua drama dijayakan arwah sepanjang 45 tahun perjalanan karier lakonannya.
Dharma juga sempat merakamkan 11 buah lagu antaranya Sedang Cinta Mekar Bersemi yang dinyanyikan bersama Allahyarham Noreen Noor serta Sikit Punya Gila (duet bersama Allahyarham Rohana Jalil).
Sayangnya arwah kepada bidang lakonan tidak pernah berkurang meskipun satu ketika dahulu beliau pernah menghilangkan seketika dirinya dari dunia seni.
Bahkan Allahyarham, dalam beliau bergelut dengan pelbagai masalah kesihatan seperti asma, bengkak jantung dan paru-paru, gastrik dan tiroid, tetap ingin bekerja sebagai anak wayang.
Arwah meninggalkan kita dengan lakonan terakhirnya dalam telefilem berjudul Ayah yang disiarkan menerusi saluran Salam HD pada Oktober lepas.
Allahyarham juga pulang ke negeri abadi dengan meninggalkan beberapa impian yang tidak sempat beliau lunaskan ketika hayatnya.
“Arwah sebenarnya menyimpan hasrat untuk meneruskan rancangan Deko Ibadah yang pernah beliau terbitkan beberapa tahun lalu.
“Beliau berhasrat untuk melunaskan projek dekorasi Surau Darul Huda di Wangsa Maju.
“Saya tak tahu macam mana hendak teruskan. Tapi apabila ia menjadi amanah yang ditinggalkan arwah, saya akan cuba lunaskan,” kata anaknya, Muhammad Al Syafiq.
Meskipun Dharma kini sudah tiada, beliau akan selamanya dikenang sebagai Cikgu Azmi disayangi ramai.
Semoga semua amalan arwah semasa hayatnya diterima Allah. Dan semoga segala sumbangan yang beliau curahkan dalam dunia seni beroleh pahala dan kebaikan di akhirat nanti.-UTUSAN










