PETALING JAYA: Sedania As Salam Capital (SASC), anak syarikat kepada Sedania Innovator Berhad, terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang fintech Islam dengan jumlah pembiayaan di bawah Program Pembiayaan GoHalal (GHP) hampir RM2 bilion.
Program inovatif berteraskan patuh syariah itu direka khusus untuk memperluas akses kewangan kepada golongan pekerja ekonomi gig yang semakin berkembang pesat di Malaysia, sekali gus mentakrif semula landskap pembiayaan inklusif negara.
Melalui kerjasama dengan platform digital utama, cabang fintech Sedania ini membolehkan pembiayaan mikro bersepadu yang patuh syariah menstabilkan pendapatan dan memperkasa individu yang memacu ekonomi digital negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SASC, Khairul Nisa Ismail berkata, pihaknya percaya pemerkasaan kewangan haruslah inklusif dan berprinsip.
“Program Pembiayaan GoHalal bukan sekadar inovasi fintech, ia merupakan satu ekosistem yang mentakrif semula akses kepada modal bagi komuniti yang kurang diberi perhatian, berlandaskan nilai-nilai syariah dan didorong oleh teknologi.
“Ketika kami terus berkhidmat dan mengembangkan capaian dalam ekonomi gig Malaysia, komuniti seramai tiga juta individu dan semakin meningkat.
“Kejayaan ini membuktikan kewangan beretika boleh berkembang secara mampan, sambil memacu pertumbuhan sosio ekonomi jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Sedania Innovator Berhad, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pihaknya berbangga melihat ekonomi gig dan digital Malaysia terus berkembang mencerminkan semangat keusahawanan dan daya tahan rakyat.
“Namun di sebalik kejayaan komersial ini, kami sedar individu yang memacu ekonomi ini sering berdepan ketidaktentuan kewangan antara kitaran permintaan.
“Di sinilah ekosistem GoHalal memberi makna sebenar. Menyediakan akses kepada pembiayaan patuh Shariah yang bertanggungjawab, bagi memperkasa mereka yang menggerakkan ekonomi harian negara,” katanya.
Tenaga kerja gig Malaysia kini melebihi tiga juta orang, menjadikannya antara penyumbang ekonomi yang paling pesat berkembang di negara ini.
Dengan mengintegrasikan kewangan beretika dalam ekosistem digital, Sedania menjadikan inklusi kewangan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada individu, rakan kongsi, serta ekonomi secara keseluruhan.
Inovasi utama Sedania berpaksikan model Meta Financing, penggabungan teknologi, tadbir urus syariah, dan impak sosioekonomi dalam satu ekosistem yang lancar dan telus.
Dikuasakan oleh platform dagangan digital As-Sidq Tawarruq milik Sedania, GoHalal membolehkan rakan digital mengintegrasikan produk kewangan Islam terus ke dalam sistem mereka.
Setiap transaksi dijalankan secara automatik, telus, dan mematuhi syariah secara masa nyata mentakrif semula kecekapan dalam pembiayaan berasaskan prinsip Islam.
Sedania juga kekal sebagai satu-satunya penyedia fintech Islam di Malaysia yang menggunakan masa siaran (airtime) sebagai komoditi digital asas, membolehkan transaksi 24/7 dengan dokumentasi segera, kelebihan unik dalam menyediakan akses kewangan yang telus dan boleh dikembangkan merentasi segmen institusi dan runcit. – UTUSAN










