Sebut ‘Hulu Laknat’ seperti hina institusi diraja, rakyat Selangor - Utusan Malaysia

Sebut ‘Hulu Laknat’ seperti hina institusi diraja, rakyat Selangor

MOHD. SANY HAMZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim didakwa menghina institusi diraja dan rakyat Selangor apabila beberapa kali menyebut perkataan ‘Hulu Laknat’ dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan berkata, tindakan itu tidak beradab dan mencemarkan nama baik daerah Hulu Langat.

Katanya, perkataan itu jelas membawa maksud menghina kerana Hulu Langat ialah nama daerah rasmi yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor dan digunakan dalam urusan pentadbiran negeri.

“Tindakan Yang Berhormat Pendang bukan sahaja mencemar nama baik daerah Hulu Langat dan rakyatnya, malah turut dianggap menghina naungan dan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Perbuatan ini amat tidak wajar, tidak beradab dan menyalahi prinsip keluhuran Perlembagaan serta tata kelakuan seorang ahli yang berhormat dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Dewan Rakyat kecoh susulan tindakan Awang yang didakwa menggunakan kata-kata kesat ketika sesi penggulungan.

Antara yang menjadi perhatian ialah apabila beliau memanggil Hulu Langat sebagai ‘Hulu Laknat’ dan Kota Melaka sebagai ‘Kota Celaka’, sehingga mencetuskan bantahan beberapa ahli Parlimen termasuk wakil rakyat terlibat.

Mohd. Sany berkata, beliau telah menghantar usul rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk merujuk Awang Hashim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (10) (a).

Katanya, perkataan ‘laknat’ yang digunakan membawa maksud amat berat kerana disebut dalam al-Quran sebagai kutukan terhadap makhluk yang dilaknat seperti syaitan, iblis dan Firaun.

“Adakah Yang Berhormat Pendang ini dia sebut laknat untuk melaknat kepada seluruh warga dan juga masyarakat yang terdapat di dalam negeri Selangor? Jadi pada saya dia telah menghina institusi beraja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN