KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu kenderaan membawa muatan berlebihan, sekali gus menolak gesaan segelintir pihak yang mahu kelonggaran atau tempoh peralihan diberikan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana isu lebih muatan bukan perkara baharu sebaliknya masalah berpuluh tahun yang mengundang risiko keselamatan serius kepada pengguna jalan raya.
Katanya, Ahli Parlimen yang meminta kementerian mempertimbangkan ‘soft landing’ hanya akan menggagalkan penguatkuasaan serta membuka ruang untuk pengusaha terus melanggar undang-undang.
“Isu ini adalah isu nyawa manusia dan bukan sekadar isu dollar and cent. Sekarang siapa ahli yang berhormat yang boleh bagi jaminan dalam tempoh saya tidak buat penguatkuasaan, tidak ada kemalangan berlaku?.
“Saya tidak akan berkompromi. Jangan minta kita perlahan daripada segi penguatkuasaan sebab benda ini akan gagal.
“Saya sudah tunggu dalam 10 ke 20 tahun. Menteri Pengangkutan sebelum ini yang cuba selesaikan tetapi akibat tekanan, dia ‘u-turn’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 Kementerian Pengangkutan peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah Anthony Loke, beliau juga terkilan dengan pandangan beberapa Ahli Parlimen yang seolah-olah menjadi jurucakap kepada pengusaha yang melanggar had muatan, sedangkan isu itu menyentuh keselamatan rakyat.
“Saya nak tegaskan, ini bukannya undang-undang baharu. Jangan bercakap seolah-olah kita memperkenalkan dasar, peraturan baharu.
“Saya hanya menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sedia ada yang telah dilanggar sejak berpuluh tahun lalu.
“Kalau kita dapat bertahan berbulan-bulan dari apa tekanan datang dan semua yang berhormat sokong saya, saya yakin isu ini akan kita selesaikan,” katanya. – UTUSAN










