TAWAU: Bersedia berdepan tindakan ditukarkan oleh pimpinan atasan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) jika mandat sebagai calon mewakili GRS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan gagal dilaksanakan.
Calon GRS, Samsiah Usman berkata, bahawa beliau bersedia ditukarkan pada bila-bila masa sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat serta pucuk pimpinan parti.
“Amanah yang diberikan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mahupun Presiden PHRS, Tan Sri Liew Yun Fah, datang bersama disiplin dan tanggungjawab yang tinggi.
“Saya sudah diberi mandat untuk memegang amanah dan mengutamakan rakyat. Itu sebabnya saya minta semua pihak bantu, beri teguran supaya kita dapat buat lebih baik seperti yang rakyat impikan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Ceramah Berkelompok di Kampung Sri Menanti, di sini semalam.
Mengulas persaingan 10 penjuru di DUN Kukusan, Samsiah menyifatkan pertandingan kali ini sebagai terbuka, namun keyakinannya tetap pada kerajaan GRS sebagai platform terbaik untuk menyelesaikan isu-isu rakyat tempatan.
“Setiap calon ada kelebihan masing-masing. Tetapi bagi saya, GRS adalah kerajaan yang benar-benar boleh membantu rakyat di Kukusan,” ujarnya.
Menjawab persepsi bahawa beliau baharu dalam politik, Samsiah menjelaskan pengalaman politiknya bermula sejak lebih dua dekad lalu.
“Saya bukan baru. Saya pernah menjadi Ketua Puteri cawangan pada 2001. Jadi bekerja dengan rakyat bukan satu masalah. Insya-Allah, kalau diberi mandat, semua golongan termasuk belia, ibu tunggal dan wanita akan kita utamakan,” katanya.-UTUSAN










