Saya akan pertahankan sampai penghujungnya - Kamal Adli

Saya akan pertahankan sampai penghujungnya – Kamal Adli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli tetap dengan pendirian untuk mempertahankan perkahwinannya meskipun isterinya yang juga aktres popular, Uqasha Senrose berkeras menuntut perceraian.

Menurut Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, dia tidak akan berputus asa malah akan terus melakukan pelbagai cara untuk menyelesaikan secara baik pergolakan rumah tangganya.

“Saya tak mahu perkara buruk berlaku kepada rumah tangga saya. Oleh itu saya akan pertahankan sampai ke penghujungnya. Sampai Allah kata cukup.

“Tapi saya akan terus usaha, insya-Allah,” katanya selepas prosiding ketiga dan sesi lantikan jawatankuasa pendamai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi.

Kamal tiba pada jam 9.34 pagi ditemani peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh. Turut hadir adalah Uqasha yang ditemani peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian serta adiknya yang juga pelakon, Nelydia Senrose.

Kamal dalam masa yang sama memaklumkan prosiding pagi tadi sebagai pertemu pertama selepas lebih dua bulan tidak berjumpa Uqasha yang kini tinggal bersama ibunya.

“Lama tak jumpa dia. Jadi gembira juga dapat tengok walaupun kami tak bercakap. Tapi saya tak nampak pun dia pandang saya. Biarlah saya bertepuk sebelah tangan, tak apa,” selorohnya.

Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu dalam masa yang sama memaklumkan berdepan kesukaran untuk bertemu anaknya, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.

“Saya ada hubungi keluarga dia, sesiapa yang saya rasa boleh membantu. Lima minit pun jadilah, untuk saya peluk dia pun cukup. Memang ada usaha untuk berjumpa anak. Tapi semua bergantung kepada kebenaran Uqasha,” jelasnya.

Kamal juga memaklumkan kaedah surat-menyurat serta keizinan bertulis menjadikan komunikasi kedua pihak bertukar semakin rumit.

“Saya harap selepas apa yang disebut depan hakim tadi, lebih mudah untuk saya jumpa Hawra. Kalau isteri saya tak nak jumpa saya buat masa ini, saya faham. Tapi untuk saya jumpa anak, saya harap dapat dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam syarie berkata, prosiding hari ini adalah kali pertama Kamal dibenarkan menyatakan pendirian sama ada bersetuju atau tidak dengan permohonan berpisah yang difailkan oleh isterinya.

Ujarnya, anak guamnya menyatakan tidak bersetuju untuk bercerai, justeru mahkamah mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Pendamai (JKP) sebagai proses wajib bagi menilai sama ada perkahwinan itu masih boleh dipulihkan atau sebaliknya.

“Mahkamah sudah arahkan JKP dibentuk dan kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing hari ini.

“Dalam tempoh sebulan, jawatankuasa itu akan bersidang di Pejabat Agama Islam untuk menilai perkahwinan mereka secara berkecuali,” jelas peguamnya.

Terdahulu, Uqasha telah memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

atas alasan tiada persefahaman dan pergolakan rumah tangga yang berlaku sejak April 2025.

Kedua pasangan itu difahamkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Uqasha kini menetap bersama ibunya.

Kedua pihak pada prosiding pagi tadi juga selesai melantik jawatankuasa pendamai masing-masing dan mahkamah menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh Prosiding seterusnya.

Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN