KUALA LUMPUR: Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dilaksanakan Jabatan Penerangan berkesan bagi memperkukuh semangat kenegaraan serta jati diri rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kajian penilaian melibatkan 5,044 responden pelbagai latar belakang, kaum dan peringkat umur mendapati program berkenaan mencapai 91 peratus keberkesanan keseluruhan bersamaan dengan skor min 4.55.
“Dapatan ini menunjukkan sambutan yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sahaja meningkatkan kesedaran kenegaraan dan patriotisme malah turut menyemai rasa bangga serta cinta terhadap tanah air merentasi pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd. Ramli (PN–Dungun) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya baru-baru ini merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung, termasuk yang berkhemah bersama keluarga sehari lebih awal sebagai tanda sokongan terhadap acara tahunan itu.
Fahmi berkata, kejayaan tersebut mendorong Jabatan Penerangan untuk memperhebat pelaksanaan inisiatif Patriotisme Sepanjang Tahun.
Ia sebagai kesinambungan usaha menyemai semangat cinta negara secara berterusan melalui pendekatan komunikasi bersepadu serta penglibatan rakyat di semua peringkat.
“Semangat patriotisme tidak wajar hanya disambut pada bulan Ogos dan September semata-mata, tetapi mesti diterapkan sepanjang tahun melalui pelbagai aktiviti komuniti, pendidikan dan kandungan digital kreatif agar mesej kebangsaan sampai kepada seluruh rakyat,” katanya.-UTUSAN










