Bertahan hasilkan terompah sejak lebih 70 tahun - Utusan Malaysia

Bertahan hasilkan terompah sejak lebih 70 tahun

CHOO Kong Choon tekun menyiapkan tempahan terompah kayu tradisional di Dewan Tokong Tau Boo Keong, Bukit Lagi, Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Di usia 88 tahun, Choo Kong Choon terus bersemangat menghasilkan terompah kayu dan menjadi satu-satunya pembuat terompah yang masih bertahan di Perlis.

Warga emas itu mula menghasilkan terompah sejak berusia 16 tahun dan kekal tekun menyiapkan tempahan di Dewan Tokong Tau Boo Keong, Jalan Bukit Lagi di sini bagi memastikan seni tersebut tidak pupus ditelan zaman.

Kong Choon berkata, dia mampu menyiapkan antara empat hingga lima pasang seminggu, namun bergantung kepada tahap kesihatannya.

Katanya, dia menghantar terompah yang dijual pada harga RM12 hingga RM20 sepasang di kedai-kedai sekitar Kangar dan bergantung kepada permintaan.

“Saya mewarisi seni pembuatan terompah daripada bapa sejak lebih 70 tahun lalu. Sejak itu, saya tidak pernah berhenti menghasilkan terompah yang sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan sumber pendapatan.

“Meskipun tidak menjana banyak keuntungan, saya tetap meneruskan kerja-kerja pembuatan terompah yang menjadi sebahagian daripada seni dan warisan perlu dipertahankan.

“Di Perlis hanya tinggal saya seorang menghasilkan terompah dan di seluruh Malaysia pula sudah tidak ramai membuat terompah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, penghasilan terompah dihasilkan sepenuhnya secara manual dengan menggunakan kayu pokok durian.

Kong Choon memberitahu, kerja-kerja pembuatan dimulakan dengan memotong kayu, mengukur saiz, mengikis permukaan, mengecat dan memasang tali.

“Jualan terompah ketika ini tidak serancak dahulu dengan sekarang, ia lebih banyak dibeli untuk perhiasan atau untuk tujuan tertentu khususnya dalam kalangan masyarakat Cina yang mempunyai nilai budaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN