SEREMBAN: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah menyebut perkataan ‘balik’ dalam ucapannya di Jempol sebelum ini.
Menteri Besar Kedah itu berkata, kenyataannya pada ketika itu adalah untuk memberi gambaran sesebuah negara itu dan kaitan dengan penduduknya.
“Tiada perkataan balik pun, saya gambarkan negara-negara yang saya sebut itu adalah negara itu dan kaitan penduduknya.
“Takkan sehingga saya perlu cakap Scottish duduk di Scotland, Swedish duduk di Sweden, Irish duduk di Ireland, takkan perlu sehingga itu.
“Kita cakap yang ada dekat supaya orang boleh nampak, Thailand, China, India, kemboja, Vietnam, itulah gambaran, tanah atau negara dengan orang yang mendiami tanah itu.
“Saya mahu kata tanah ini didiami orang Melayu, namanya Tanah Melayu, semudah itu pun tak faham, macam mana mahu serah negeri kepada mereka?” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban di sini malam tadi.
Kata Muhammad Sanusi, semua pihak pihak perlu menerima hakikat dan latar belakang pembentukan negara ini.
“Tiada orang boleh perbetulkan balik hakikat kejadian pada masa lalu, kita sebut untuk pedoman pada masa ini dan masa hadapan.
“Orang yang berusaha untuk memutar belit, menokok tambah supaya timbul kemarahan, timbul kebencian, timbul salah sangka supaya kita bergaduh, orang macam ini tidak boleh jadi kerajaan.
“Orang yang mahu memerintah negeri, negara ini, mesti terdiri daripada orang-orang yang faham akar tanah ini apa, tidak boleh tengah-tengah, kena faham latar belakang, lupakan semua sejarah, mana boleh,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau akan memberi keterangan kepada pihak polis hari ini berhubung ucapannya dalam ceramah politik tersebut-UTUSAN.










