PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan pegawai dari Jabatan Peguam Negara (AGC) esok.
Ia bagi mendapatkan taklimat lengkap susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.
Menurutnya, sebarang kenyataan lanjut berhubung isu tersebut hanya akan dimaklumkan secara lebih terperinci setelah beliau menerima gambaran secara lebih menyeluruh, sebelum tindakan susulan diambil pihaknya.
“Esok pagi saya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai berkenaan dari AGC yang mengendalikan kes ini daripada awal. Tujuannya supaya saya mendapat taklimat lengkap dan gambaran menyeluruh kerana keputusan dan arahan khusus mahkamah adalah termasuk mengarahkan pasukan polis bagi memulakan siasatan.
“Tentang hala tuju siasatan untuk mengklasifikasikan sebagai kes apa sebagainya, itu setelah kita mendapat taklimat penuh,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Wira Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.
Semalam, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, memandangkan insiden itu berlaku pada tahun 2016 dan 2017, kes tersebut menjadi legasi yang diwarisi justeru beliau tidak boleh gopoh dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya tentunya tak boleh gopoh dalam memberikan sebarang kenyataan, lebih baik untuk saya terlebih dahulu mendapatkan taklimat lengkap. Untuk rakan-rakan media, saya akan memberikan perkembangannya dari masa ke semasa,” ujarnya.
Sebagai rekod, Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Koh pada 13 Februari 2017.-UTUSAN









