KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai peneraju minyak sawit mampan di peringkat antarabangsa dengan usaha mempertingkat keupayaan pekebun kecil bagi memenuhi tuntutan piawaian.
Inisiatif itu dimeterai melalui memorandum persefahaman antara Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan (NASH) dan Sekolah Perniagaan Asia (ASB) bagi memperkukuh daya tahan golongan terbabit menerusi latihan, pembiayaan lestari serta transformasi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Joseph D’Cruz berkata, kerjasama itu menandakan komitmen berterusan untuk memperkasa pekebun kecil agar mampu bersaing dalam pasaran minyak sawit global.
Katanya, pendekatan bersepadu itu juga dijangka mempercepat proses transformasi sektor minyak sawit ke arah pematuhan standard antarabangsa.
“Tumpuan utama RSPO adalah memastikan pekebun kecil bukan sekadar peserta dalam rantaian bekalan, sebaliknya menjadi tulang belakang kepada industri minyak sawit mampan.
“Pekebun kecil memainkan peranan penting dalam memastikan minyak sawit Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Joseph berkata, pihaknya berperanan membantu industri minyak sawit tempatan mematuhi peraturan baharu Kesatuan Eropah (EU Deforestation Regulation) bagi memastikan eksport negara tidak terjejas.
Katanya, kerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diperluas bagi menyelaras sistem audit dan mengurangkan kos kepada pekebun kecil.
“Kedua-dua skim memerlukan audit tahunan. Jadi kami mencadangkan supaya satu audit boleh digunakan untuk kedua-duanya bagi mengurangkan kos dan usaha pekebun kecil.
“Kami sedang berbincang dengan MSPO dan kementerian berkaitan untuk meneliti kemungkinan itu. Matlamat kami adalah memastikan tiada pekebun kecil yang tercicir dalam proses peralihan kepada amalan mampan,” katanya.
Ketua Unit Pekebun Kecil RSPO, Guntur Cahyo Prabowo berkata, inisiatif itu merupakan kesinambungan memperkukuh sokongan di lapangan agar pekebun kecil mengekalkan pensijilan dan mendapat akses pasaran antarabangsa.
“Hasil daripada inisiatif ini, lebih 180,000 pekebun kecil di seluruh dunia kini telah disahkan di bawah piawaian RSPO.
“Melalui Dana Sokongan Pekebun Kecil RSPO pula, lebih AS$5.2 juta telah disalurkan bagi melaksanakan 141 projek di 14 negara yang memberi manfaat langsung kepada lebih 44,000 pekebun kecil bebas,” katanya.
Katanya, pelbagai kerjasama strategik seperti Asosiasi Petani Kelapa Sawit Indonesia (APKASINDO) serta Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) dan Global Green Chemicals Public Company Limited (GGC) di Thailand membolehkan pelbagai model sokongan dilaksanakan mengikut keperluan negara masing-masing.
Presiden NASH, Adzmi Hassan berkata, pekebun kecil memainkan peranan penting dalam industri minyak sawit Malaysia sejak 1970 khususnya menyokong dasar pembangunan sosioekonomi luar bandar.
Katanya, terdapat kira-kira 500,000 pekebun kecil di Malaysia yang mengusahakan 900,000 hektar tanaman dengan hampir 30 peratus menyumbang kepada eksport minyak sawit negara.
“Pekebun kecil bebas menjadi fokus NASH kerana peranan mereka yang signifikan dalam rantaian bekalan global dan usaha memperkukuh mereka melalui pensijilan MSPO dan RSPO adalah penting,” katanya.-UTUSAN










