PETALING JAYA: Rombakan Kabinet yang akan dilakukan hanya untuk mengisi kekosongan sedia ada antaranya bagi portfolio Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan secara berseloroh meminta pengamal media mengemukakan senarai nama barisan Kabinet baharu.
“Rombakan itu bagi mengisi kekosongan. Boleh cadangkan beberapa nama? Saya akan pertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Johannesburg, Afrika Selatan kelmarin.
Spekulasi mengenai rombakan Kabinet mula diperkatakan, susulan beberapa kekosongan portfolio selepas peletakan jawatan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi serta Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam).
Turut mengosongkan jawatan baru-baru ini ialah Datuk Ewon Benedick selaku Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.
Selain itu, beberapa menteri atas kapasiti Ahli Dewan Negara akan menamatkan tempoh perkhidmatan mereka awal bulan depan termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Bagaimanapun, Saifuddin, Zambry dan Mohd. Na’im layak dilantik semula sebagai senator untuk satu penggal lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, tiada sebarang perbincangan pernah diadakan mengenai kemungkinan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar akan menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Anwar berkata, perkara itu tidak pernah dibawa atau dimaklumkan kepadanya dan hanya merupakan pandangan peribadi Amirudin.
“Itu pandangannya. Dia tidak pernah berbincang perkara ini dengan saya,” katanya.
Kelmarin, Amirudin menerusi sebuah audio siar mendedahkan, beliau telah memaklumkan kepada Nurul Izzah mengenai cadangan mengambil alih jawatan Menteri Besar dan menyerahkan sepenuhnya kepada Nurul Izzah untuk menerima atau menolak cadangan tersebut.
Amirudin turut menyatakan kesediaan memikul tanggungjawab di peringkat Persekutuan.
Mengulas kesediaan itu, Anwar berkata, tempoh untuk pilihan raya umum seterusnya masih panjang dan akan dibincangkan pada masa sesuai. – UTUSAN









