KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.08 bilion diperuntukkan kerajaan bagi pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah bagi tahun 2025.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada jumlah itu, RM1.077 bilion disalurkan bagi tujuan emolumen manakala RM9.25 juta bagi bukan emolumen.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memperuntukkan RM3.38 juta bagi pembangunan modul serta latihan guru prasekolah selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 yang akan diperkenalkan secara rasmi tahun depan.
“Latihan penataran kurikulum dilaksanakan secara berfasa sepanjang tahun ini, membabitkan jurulatih utama di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah sebelum disampaikan kepada guru prasekolah di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan guru memahami kandungan kurikulum baharu selain memperkukuh pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan pendekatan lebih menyeluruh.
“KPM turut memberi tumpuan terhadap pembangunan kompetensi dan profesionalisme guru termasuk penguasaan pedagogi, penerapan nilai murni serta pembentukan sahsiah murid sejajar aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025,” katanya.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja meningkatkan keyakinan guru melaksanakan kurikulum baharu, tetapi turut memastikan murid prasekolah dibentuk secara holistik daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. – UTUSAN










