PETALING JAYA: Negara perlu mencapai nisbah satu guru bagi setiap 16 (1:16) kanak-kanak bagi memastikan pendidikan di peringkat prasekolah berkesan dalam membantu pembesaran yang sihat.
Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, kerajaan perlu menjaga ratio guru di peringkat prasekolah selari dengan penambahan 350 buah kelas.
Kata beliau, jumlah murid yang lebih kecil berbanding di peringkat sekolah rendah itu kerana bagi memastikan setiap cikgu dapat memberikan fokus sepenuhnya dalam mendidik dan membantu pembesaran setiap murid.
“Selain itu, ada indikator-indikator lain perlu diikuti antaraya pendekatan dalam pendidikan prasekolah mestilah pembelajaran beraskan bermain iaitu sesuatu yang menyeronokkan, bukan akademik.
“Di peringkat tersebut, kita perlu implikasikan amalan bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak. Sebagai contoh, jika kita mahu ajar kanak-kanak yang berumur empat ke lima tahun membaca maka kaedahnya berbeza dengan apabila kita mengajar mereka yang berumur lapan ke sembilan tahun.
“Jadi jika cikgu prasekolah dilatih dengan mantap dan tahu menggunakan kaedah yang bersesuaian. Insya-Allah pendidikan itu akan berkesan walaupun kita menambah bilangan kelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, sebanyak 350 buah kelas prasekolah bakal ditambah pada tahun depan bagi memperkasakan aspek pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, penambahan kelas berkenaan akan menjadikan jumlah keseluruhan kelas prasekolah meningkat kepada hampir 10,500 di seluruh negara berbanding lebih 10,100 ketika ini.
Mengulas lanjut, Hasnah berkata, kanak-kanak hadir dari pelbagai latar belakang dan oleh itu terdapat sebahagian dari mereka yang lambat dalam menguasai sesuatu tahap pendidikan seperti membaca, menulis dan mengira (3M).
Bagaimanapun, beliau menegaskan kanak-kanak di peringkat prasekolah tidak sepatutnya diberatkan dengan kebolehan akademik itu, sebaliknya menekankan tentang kemahiran sosial dan emosi.
“Saya membuat kajian tentang mengajar kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk membaca dan dari pengalaman, ada kanak-kanak yang sudah boleh membaca selepas tiga bulan jika kaedahnya itu betul.
“Kita perlu tekankan perkembangan kemahiran sosial dan emosi kerana kajian menunjukkan kemahiran tersebut adalah asas kepada pendidikan awal kanak-kanak. Kita percaya jika anak itu mempunyai kemahiran yang mantap, nak mengajar 3M itu mudah sangat-sangat,” katanya.
Beliau berkata, beliau bimbang sekiranya kemahiran 3M diberatkan di peringkat pendidikan awal kanak-kanak tanpa memperdulikan kemahiran sosial dan emosi.
“Kita akan melahirkan kanak-kanak yang dia akan kata ‘aku bodoh, aku bodoh, aku bodoh’. Walhal asas pendidikan awal itu tidak mantap lagi. Apabila saya melatih guru-guru, perkara itu selalu saya tekankan.
“Anak-anak pada usia muda tidak tahu lagi tentang identiti dirinya. Misalnya, anak itu dari segi kognitif memang perlahan dan bila dengar dari cikgu bahawa dirinya bodoh, dia akan anggap dirinya itu,” jelasnya.
Katanya, persekitaran atau latar belakang keluarga turut memainkan peranan dalam pembelajaran awal kanak-kanak.
“Pencapaian anak dari keluarga yang ibunya bekerja sebagai peguam dan bapa pula arkitek tidak boleh dibandingkan dengan anak dari keluarga yang bapanya penagih dadah dan ibunya pula tukang cuci. Persekitaran memberi impak kepada perkembangan kanak-kanak,” katanya.
Tambahnya, pendidikan awal kanak-kanak perlu menyemai perasaan cinta membaca dalam kanak-kanak berbanding cepat membaca.
“Apabila kanak-kanak itu sangat suka membaca, dia akan pergi lebih jauh berbanding kanak-kanak yang cepat membaca tetapi tidak suka,” ujarnya. – UTUSAN










