Kementerian Pendidikan tambah 350 lagi kelas prasekolah

Kementerian Pendidikan tambah 350 lagi kelas prasekolah

MOHD. AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 350 buah kelas prasekolah bakal ditambah pada tahun depan bagi memperkasakan aspek pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, penambahan kelas berkenaan akan menjadikan jumlah keseluruhan kelas prasekolah meningkat kepada hampir 10,500 di seluruh negara berbanding lebih 10,100 ketika ini.

“Pendidikan penting untuk kita berikan kepada anak-anak kita. Akses pendidikan yang berkualiti akhirnya membolehkan mereka pergi lebih jauh,” katanya ketika menjadi panel forum pada Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 sempena program Rancakkan MADANI di sini semalam.

Menurutnya, aspek penyelenggaraan sekolah daif turut menjadi tumpuan dengan 41 sekolah diselenggara pada 2024 manakala 43 lagi dilaksanakan tahun ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, peluasan kelas prasekolah akan dilaksanakan di sekolah serta institusi KPM yang mempunyai infrastruktur sesuai, sekali gus memberi peluang lebih ramai kanak-kanak mendapat pendidikan awal secara percuma.

Sehingga Jun lalu, sebanyak 129 kelas prasekolah baharu dibuka di pelbagai institusi termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

KPM juga sedang menggubal akta khusus berkaitan pendidikan awal kanak-kanak bagi memastikan kawal selia aspek itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

KPM juga akan memperkenalkan Kurikulum Prasekolah baharu yang berpaksikan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 dan dijadikan mandatori kepada semua institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan melaksanakan dasar mewajibkan pendidikan prasekolah sebagai satu usaha mengatasi isu keciciran murid lebih awal dan sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan negara.

Menurut Fadhlina, dasar mewajibkan prasekolah tidak boleh ditangguhkan lagi walaupun wujud cabaran tentang penyediaan infrastruktur yang lengkap, selain jumlah guru mencukupi demi meningkatkan kualiti dan martabat pendidikan negara.

Dasar mewajibkan pendidikan prasekolah ini akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) selepas semua kemudahan premis sudah disediakan serta kurikulum berkaitan diselaraskan dan hanya tinggal menempatkan anak-anak untuk mengikuti pembelajaran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN