PETALING JAYA: Ringgit dijangka mencapai paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini, selepas mengukuh ke paras terbaik dalam tempoh lebih 13 bulan, semalam.
Semalam, mata wang tempatan dibuka pada 4.1560/1620 berbanding dolar AS, sebelum ditutup lebih kukuh pada 4.1430/1470, daripada 4.1580/1620 ketika ditutup pada Isnin.
Angka itu menjadi yang terbaik selepas mencatatkan 4.1400/ 4.1470 pada 26 September 2024.
Pakar ekonomi, Sunway University, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, pengukuhan ringgit ini adalah perkembangan positif untuk ekonomi, disamping membantu meningkatkan keyakinan pelabur, baik daripada segi pelaburan domestik mahupun pelaburan asing langsung (FDI).
Katanya, ini selaras dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan ekonomi berada pada prestasi lebih baik daripada jangkaan.
“Perkembangan ini adalah sesuatu yang positif memandangkan ringgit telah dinilai rendah untuk tempoh yang lama, jadi pengukuhan ini sudah dijangka berlaku.
“Ringgit yang lebih kukuh juga akan menyokong perubahan struktur dalam ekonomi. Pengukuhan ringgit juga membantu mengekalkan pertumbuhan keuntungan, walaupun ia mungkin sedikit menurunkan hasil eksport.
“Secara keseluruhan, ia meningkatkan kuasa beli rakyat Malaysia, dengan mata wang dijangka berada sekitar RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat berkata, nilai ringgit terus mengukuh kepada RM4.16 berbanding dolar AS sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia.
Beliau berkata, ukuran tersebut bukan ditentukan oleh kerajaan, tetapi oleh badan penarafan kredit iaitu S&P Global Ratings dan Moody’s Rating mengekalkan pernafasan kredit negara masing-masing A- dan A3.
Sementara itu, Kim Leng berkata, Rizab Persekutuan (Fed) AS juga dijangka menurunkan dua kali kadar faedah pada tahun yang juga dijangka mendorong kepada kelemahan dolar AS dan seterusnya pengukuhan mata wang negara.
Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan ringgit ketika ini merupakan gejala sementara yang didorong oleh kelemahan dolar AS ketika ini.
“Apabila dolar AS lemah, kita mendapat manfaat secara langsung dan ringgit akan meningkat nilainya.
“Daripada segi asas ekonomi, Malaysia menunjukkan ketahanan kukuh, dengan pertumbuhan ekonomi melebihi dijangka melebihi lima peratus tahun ini, manakala eksport suku ketiga meningkat lebih 12 peratus.
“Walaupun tarif eksport menurun, nilai eksport kita masih meningkat. Ini menunjukkan daya tahan sektor perniagaan negara,” katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa tempoh pengukuhan ini bergantung kepada reaksi pelabur terhadap perjanjian tarif baharu dan perkembangan ini dijangka dapat dilihat dalam tempoh 60 hari akan datang.
“Dolar AS dijangka terus melemah kerana ekonomi AS sendiri sedang merosot. Dunia kini lebih terbuka kepada rundingan dengan China apabila kedudukan ekonomi AS semakin pudar.
“Pengukuhan ringgit turut bergantung kepada tindak balas AS dalam melaksanakan strategi balas serta tahap keyakinan pelabur.
“Ini semua bersifat jangka pendek. Dalam jangka panjang, ekonomi AS dijangka terus menurun dan berkemungkinan kehilangan status sebagai kuasa ekonomi utama dunia,” katanya. – UTUSAN








