KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Remy Ishak mengakui amalan mandi garam banyak membantunya menghilangkan perasaan kurang enak serta tekanan emosi yang dikaitkan dengan ion negatif.
Remy atau Mohammad Zalimei Ishak berkata, rutin itu telah diamalkan sejak lima tahun lalu selepas menerima saranan daripada pakar psikologi ketika berdepan episod kemurungan semasa pandemik Covid-19.
“Dulu, ada satu ketika ketika fasa pandemik, saya mengalami kemurungan.
“Saya berjumpa pakar psikologi dan beliau berkongsi mengenai ilmu mandi garam ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media drama Sumpah Ibuku, baru-baru ini.
Menurut Remy, suasana media sosial hari ini yang dipenuhi kandungan toksik turut memberi kesan kepada kesejahteraan mental, sama ada secara sedar atau tidak.
“Itulah amalan saya apabila ada rasa tertekan. Kadang-kadang saya tak nafikan, di media sosial kita terkena benda negatif. Bila keluar, orang melihat gambar, bercakap, bersangka buruk semua itu memberi ion negatif kepada diri kita.
“Kadang-kadang kita rasa tak selesa, emosi tak menentu tanpa sebab. Maksudnya ada sesuatu yang tak kena.
“Cara terbaik bagi saya ialah mandi garam. Rutin itu bergantung kepada keperluan, tetapi kalau nak lebih baik, saya buat tiga hari berturut-turut,” katanya.
Terdahulu, Remy menarik perhatian apabila berkongsi petua mandi garam kepada rakan pelakon, Zara Zya di ruangan komen Thread, selepas Zara bertanya mengenai amalan menaikkan seri dan aura diri bagi memudahkan jodoh.
Drama Sumpah Ibuku kini bersiaran di slot Akasia TV3 bermula Rabu, turut dibintangi Liza Abdullah dan Izara Aishah. -UTUSAN









