PETALING JAYA: Proton memeterai kerjasama strategik lima tahun bersama Institut Robotik & IoT Automotif Malaysia (MARii) bagi memacu pembangunan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC) serta memperkukuh kapasiti bakat penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.
Kerjasama itu melibatkan perkongsian kemudahan ujian, pembangunan infrastruktur NATC dan program latihan berstruktur yang akan memberi manfaat kepada 200 jurutera serta kakitangan teknikal R&D syarikat.
Di bawah perjanjian tersebut, Proton akan berkongsi kemudahan seperti Litar Ujian Separuh Kelajuan Tinggi di Shah Alam dan makmal ujian R&D di Tanjong Malim untuk dijadikan sebahagian daripada fasiliti rasmi NATC.
Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama membangunkan kemudahan baharu NATC yang bakal beroperasi sebagai pusat ujian automotif bertaraf industri, terbuka kepada pengeluar (OEM), institusi penyelidikan, pemain industri dan institusi pengajian tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, kerjasama dengan MARii merupakan komitmen penting syarikat untuk menyokong pembangunan industri automotif tempatan.
“Kami percaya NATC berpotensi besar melahirkan teknologi dan model baharu serta mengukuhkan aspirasi Malaysia sebagai kuasa automotif serantau.
“Kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan 200 bakat R&D Proton, khususnya dalam pembangunan teknologi dan komponen baharu berkaitan kenderaan tenaga baharu (NEV), selari dengan aspirasi menjadikan Lembah Teknologi Automotif Tinggi (AHTV) sebagai hab serantau untuk pembangunan dan pengeluaran model NEV,” katanya.
Majlis pertukaran dokumen itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz dan Eksekutif Program Kenderaan bagi Proton Saga, Desmond Pinto semasa Ekspo Automotif dan Teknologi Global 2025 (GATE 2025).
Ia turut disaksikan Pengerusi MARii, Datuk Aminar Rashid serta Naib Presiden Strategi Korporat Proton, Ainol Azmil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz berkata, inisiatif tersebut seiring agenda perindustrian negara seperti digariskan dalam Rancangan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020).
“Kerjasama ini memperkukuh keupayaan Malaysia dalam mobiliti generasi baharu melalui perkongsian kemudahan ujian, peningkatan kapasiti R&D serta pembangunan kejuruteraan bagi kenderaan tenaga baharu,” katanya. – UTUSAN










