Proton e.MAS 7 jual 7,413 unit, e.MAS 5 terima 10,000 tempahan - Utusan Malaysia

Proton e.MAS 7 jual 7,413 unit, e.MAS 5 terima 10,000 tempahan

PROTON e.MAS 7.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pro-Net, anak syarikat pengeluar automotif nasional Proton mencatatkan jualan sebanyak 7,413 unit bagi e.MAS 7 sehingga 31 Oktober 2025 dan menerima 10,000 tempahan e.MAS 5 diterima setakat ini.

Menurut kenyataannya, 7,413 unit e.MAS 7 tersebut merangkumi 6,954 unit di pasaran tempatan dan 459 unit eksport, mengekalkan kedudukannya sebagai model kenderaan elektrik (EV) nombor satu di Malaysia selama 10 bulan berturut-turut.

Jelasnya, pencapaian ini menunjukkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap EV dalam kalangan pengguna Malaysia serta mengukuhkan komitmen Pro-Net untuk menawarkan EV yang mampu milik dan mudah diakses tanpa menjejaskan kualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pihaknya benar-benar menghargai sokongan padu yang terus diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap e.MAS 7 dan kini e.MAS 5.

“Setiap tempahan yang diterima melambangkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kami untuk menawarkan e.MAS 5 dengan kualiti dan piawaian tertinggi.

“Sebagai pengeluar automotif nasional, kami akan terus komited untuk memastikan mobiliti elektrik menjadi lebih mudah diakses, boleh dipercayai dan relevan untuk semua,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Proton berkata, minat rakyat Malaysia terhadap e.MAS 5 terus menunjukkan momentum memberangsangkan di seluruh negara, dengan Klang mencatat jumlah tempahan tertinggi, diikuti oleh bahagian Selatan dan Utara.

Jelasnya, permintaan dari Sabah Sarawak dan Pantai Timur juga menunjukkan peningkatan, menggambarkan sambutan meluas terhadap kereta elektrik mampu milik pertama di Malaysia ini.

“Menurut maklum balas daripada pusat pengedar, majoriti pelanggan e.MAS 5 terdiri daripada golongan profesional yang memilih model ini sebagai kenderaan utama untuk kegunaan harian.

“Ramai daripada mereka mengambil peluang untuk menukar kereta sedia ada melalui program Power Trade-In, yang menawarkan rebat tambahan sebanyak RM1,000.

“Pada masa yang sama, sebilangan besar pembeli menjadikan e.MAS 5 sebagai kenderaan kedua dalam keluarga. Model hatchback segmen B ini turut menarik minat pembeli kereta pertama, mencerminkan generasi baharu yang mencari mobiliti yang praktikal, berpatutan dan lestari,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN