KUDAT: Program Semarak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan komitmen kerajaan dalam melaksanakan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu akan dilaksanakan secara kerap di seluruh Malaysia demi mempertahankan kedaulatan negara, dengan komitmen yang bukan sahaja melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi turut memerlukan penyertaan masyarakat.
“Sekurang-kurangnya masyarakat sedar bahawa keselamatan dan pertahanan negara itu bukan hanya terletak pada tentera. Jika ada kesedaran begitu, mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugat keselamatan dan pertahanan negara.
“Maknanya antara lain adalah menjamin masyarakat stabil dan tidak melakukan sebarang apa yang menyebabkan gangguan dan sebagainya.
“Pada masa sama, melalui pembudayaan WOGOS, kita akan cuba fikirkan bagaimana dapat gemblengkan masyarakat dapat memainkan peranan secara aktif dan proaktif dalam soal keselamatan.
“Menerusi pendekatan WOGOS seperti di Pulau Banggi, kerajaan putuskan keseluruhan kementerian untuk beri perhatian kepada pembangunan dan kemajuan pulau ini.
“Dengan demikian apabila kehidupan rakyat terbela dan terjamin, sekurang-kurangnya mereka hidup dalam keadaan stabil dan itu akan membantu soal keselamatan kepada negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Semarak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bersama Komuniti Pulau Banggi di Kudat, Sabah.
Turut hadir adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Pahlawan Haji Mohd. Nizam bin Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta veteran ATM dan wakil agensi-agensi penguatkuasaan.
Terdahulu, ketibaan Mohamed Khaled disambut dengan Pertunjukan Tarian Perang dan lebih 500 orang penduduk yang hadir ke Program Semarak ATM Bersama Komuniti Pulau Banggi.
Program tu adalah merupakan kemuncak kepada lebih 50 aktiviti program jiwa murni yang berlangsung di sekitar kawasan Kudat sepanjang tahun ini. Antaranya adalah gotong royong membersihkan kawasan, aktiviti kerohanian, kesihatan dan pendidikan melibatkan komuniti dan ATM.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, keamanan dan keselamatan yang dinikmati rakyat hari ini bukan berlaku secara automatik, sebaliknya hasil pelaksanaan strategi keselamatan negara yang dirancang oleh kerajaan khususnya ATM.
Justeru, katanya, rakyat perlu menghargai pengorbanan warga tentera yang mempertahankan benteng keselamatan negara.
“Menjaga Sabah bukan mudah kerana kedudukannya terletak di Laut China Selatan yang terbuka luas dengan pelbagai ancaman. Penganjuran program di Pulau Banggi yang berada di lokasi strategik amat penting untuk memperkukuh keselamatan setempat,” katanya.
Beliau berkata, keamanan yang dinikmati negara hari ini turut disumbangkan oleh kesediaan anggota tentera yang ditugaskan dari seluruh negara untuk berkhidmat di Sabah, dengan semangat mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Ramai anggota tentera yang bertugas di sini datang dari negeri-negeri lain, dan adalah penting untuk memastikan mereka merasakan diri mereka diterima serta dihargai ketika menjalankan amanah di Sabah.
“Apabila mereka menyertai Angkatan Tentera, sumpah pertama mereka adalah untuk menjaga tanah air. Oleh itu, apabila mereka tiba di sini dan disambut dengan baik serta dirai sebagai keluarga besar keselamatan negara, ia memberi suntikan semangat dan penghargaan kepada pengorbanan mereka,” katanya.
Mohamed Khaled justeru itu berkata, amat penting bahawa kerajaan negeri mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Pusat untuk memastikan kesinambungan keamanan dan keharmonian kedua-dua pihak demi masa depan rakyat khususnya Sabah.
Beliau berkata, kehadiran ATM di pulau berkenaan juga penting dalam memantapkan keselamatan memandangkan kedudukannya yang berhampiran dengan sempadan negara lain, sekali gus mampu meningkatkan keyakinan penduduk dan merangsang pembangunan sosioekonomi setempat.
“Langkah ini menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi penduduk. Setiap komuniti tanpa mengira lokasi perlu menikmati pembangunan setara, perlindungan keselamatan kukuh dan kualiti hidup lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN










