PETALING JAYA: Produk herba Hong Thai Inhaler didapati tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dilarang dijual di Malaysia selepas produk itu dilaporkan ditarik balik di Thailand berikutan pencemaran bakteria berbahaya.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, tindakan kawalan segera telah dilaksanakan termasuk menyaring penjualan produk itu di platform e-dagang, menyekat pautan penjual terlibat serta meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang masih memasarkan produk berkenaan.
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah mengesan 335 pautan iklan dan jualan produk itu oleh penjual tempatan dan luar negara dan telah mengemukakan Notifikasi Aduan kepada platform terlibat bagi menurunkan iklan tersebut demi melindungi kesihatan pengguna.
“Orang awam dinasihatkan menghentikan penggunaan produk ini serta-merta dan segera mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mengalami kesan sampingan atau gejala mencurigakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM berkata, penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar adalah kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda hingga RM50,000.
Menurut KKM, bagi tempoh Januari hingga 30 September 2025, sebanyak 25,335 iklan perubatan telah disaring, manakala 1,958 pautan pelokasi sumber seragam (URL) dimohon untuk disekat dan 11,287 URL lagi telah dinotifikasi kepada platform e-dagang tempatan untuk diturunkan.
“Sepanjang tempoh sama, nilai rampasan produk tidak berdaftar yang direkodkan berjumlah RM41.3 juta melibatkan 10,442 item.
“Selain tindakan penguatkuasaan, BPF turut melaksanakan kempen kesedaran ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ (TOBaTS) bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan tidak sah.
“Maklumat lanjut mengenai kempen tersebut boleh diperoleh di laman sesawang https://pharmacy.moh.gov.my/tobats,” katanya.
KKM turut menasihati orang ramai supaya menyemak status pendaftaran ubat melalui pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran (MAL) sebelum membuat pembelian.
Semakan juga boleh dilakukan di laman web www.npra.gov.my melalui ruangan Product Search.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan mengenai penjualan ubat tidak berdaftar boleh menyalurkannya melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di pautan http://moh.spab.gov.my, mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi terdekat atau menghubungi talian 03-7841 3200 bagi tindakan lanjut.-UTUSAN









