KUALA LUMPUR: Bidang kulinari bukan lagi sekadar berkisar tentang kemahiran memasak, sebaliknya berkembang sebagai industri yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya termasuk cef profesional, usahawan makanan dan pempengaruh.
Potensi itu menjadi antara mesej utama yang diketengahkan CTRA Production dan Peran Opera menerusi Teater Muzikal Tomyam Berdarah yang bakal dipentaskan di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada 28 hingga 30 Ogos ini.
Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan berkata, perkembangan pesat industri makanan dan minuman (F&B) membuktikan bidang kulinari mempunyai prospek luas serta mampu menjadi pilihan kerjaya generasi muda.
Katanya, bidang itu bukan sahaja menuntut kemahiran teknikal, malah menggabungkan kreativiti, seni dan inovasi yang berupaya menjana pendapatan.
“Apabila bercakap mengenai memasak, ramai membayangkan ia hanya berkisar di dapur rumah. Sebenarnya industri F&B sangat luas dan mempunyai potensi besar sekiranya diterokai dengan betul.
“Anak muda boleh membina kerjaya sebagai cef di hotel atau restoran terkemuka, cef selebriti, usahawan produk makanan dan minuman, pengusaha restoran serta pempengaruh makanan di media sosial.
“Potensi itu mendorong kami mengangkat dunia kulinari ke pentas teater dengan menerapkan elemen pendidikan dan hiburan,” katanya.
Menurut Siti Rohayah, pementasan itu secara tidak langsung selari dengan usaha memperkasakan kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Teater Muzikal Tomyam Berdarah diarahkan Aloeng Silalahi yang turut bertindak sebagai penulis skrip, dengan menampilkan antaranya Karl Shafek dan Juhara Ayob.
Menggabungkan elemen satira, muzikal dan jenayah, naskhah itu membawa penonton menyelami misteri yang berlaku di sebuah restoran ketika kakitangannya sedang membuat persiapan menyertai pertandingan Master Chef Universe.
Namun, keadaan bertukar kecoh apabila pemilik restoran, Chef Rahman ditemukan mati di dalam periuk tomyam yang menggunakan resipi warisannya sendiri.
Kematian itu menyebabkan dapur bertukar menjadi lokasi jenayah, manakala setiap pekerja menjadi suspek kerana masing-masing mempunyai motif dan menyimpan rahsia.
Aloeng berkata, pementasan itu turut mengangkat isu kuasa, warisan, persekitaran kerja toksik dan nilai kemanusiaan yang tersembunyi di sebalik kehidupan pekerja sebuah restoran.
“Tomyam Berdarah bukan sekadar kisah kematian, tetapi tentang kehidupan yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti, semuanya disajikan dalam satu periuk tomyam,” katanya.
Menariknya, penonton turut dibawa menjadi sebahagian daripada penceritaan apabila perlu bertindak sebagai ‘penyiasat’ untuk menganalisis petunjuk dan merungkai dalang sebenar di sebalik kematian Chef Rahman.
Pendekatan interaktif itu juga memberi peluang kepada penonton khususnya kanak-kanak dan remaja mengasah daya fikir serta kemahiran menganalisis sepanjang mengikuti pementasan.
CTRA Production yang ditubuhkan sejak 1994 telah menerbitkan lebih 50 pementasan di Malaysia, Singapura dan Indonesia termasuk Teater Muzikal Sulalatus Salatin, Cik Ros, Nyonya, Di Bawah Lindungan Kaabah, Teater Muzikal Tun Mahathir, Lantai T. Pinkie dan Teater Muzikal Ibu Zain.
Teater Muzikal Tomyam Berdarah akan dipentaskan pada pukul 3 petang dan 8.30 malam sepanjang 28, 29 dan 30 Ogos ini.
Tiket berharga RM25 dan RM35 boleh diperoleh menerusi iLasso Tickets atau WhatsApp 011-1329 7822.










