TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yakin bahawa parti itu akan meraih kemenangan majoriti besar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, calon-calon setiap parti sudah diumumkan dan semua boleh bertanding bermula hari ini.
“Hari ini kita sudah tahu calon-calon Sulaman. Inilah demokrasi semua boleh bertanding, saya amat yakin GRS akan menang dengan majoriti yang besar di kawasan ini” katanya selepas pengumuman calon kerusi DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman, pagi ini.
DUN Sulaman berlaku persaingan sengit antaranya Dr Shahnon Rizal Thaijuddi (Barisan Nasional), Moktar Hussin (Parti Warisan), Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah) serta Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional).
Hajiji merupakan calon terakhir yang hadir sekitar pukul 8.50 pagi berbaju Melayu bewarna ungu diiringi lautan putih dengan laungan ‘rumah kita, kita jaga’ pada penamaan calon pagi tadi.
Pencadang dan penyokong Hajiji masing-masing ialah Datuk Abdul Kasim Razali dan Sylvia Beliggi.-UTUSAN










