TAWAU: DAP akan mengumumkan senarai calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin, berkata parti itu yang mewakili Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk dua kawasan baharu, iaitu Tanjung Aru dan satu lagi di kawasan pedalaman yang belum diumumkan.
Jelasnya, tiga daripada lapan kerusi yang ditandingi itu akan menampilkan muka baharu.
“Kamo jangka akan bertanding lapan kerusi. Siapa calon itu, tunggulah pengumuman hari Sabtu ini, satu kerusi baharu ialah Tanjung Aru manakala satu lagi dari kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit Daerah Tawau di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, tiga kerusi yang akan menampilkan muka baharu itu termasuk Sri Tanjung, Elopura dan Tanjung Papat selepas penyandang terdahulu meninggalkan parti atau melepaskan jawatan.
“Tiga kerusi ini memang perlu ada muka baharu. Sri Tanjung dan Elopura sebab dua ADUN kita sudah lompat ke Warisan. Tanjung Papat pula akan ada wajah baharu selepas bekas pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon, keluar parti,” katanya.
Foong Hin menambah, senarai calon kali ini turut menampilkan wakil wanita dan belia, sejajar dengan dasar parti yang menetapkan sekurang-kurangnya satu pertiga calon adalah wanita.
“Akan ada wajah baharu, wajah perempuan dan wajah belia. Polisi DAP menetapkan sekurang-kurangnya satu pertiga calon wanita, jadi kali ini kami akan melebihi jumlah itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan fokus DAP adalah untuk bekerja keras dan memastikan Sandakan kekal sebagai kubu kuat parti itu sejak sekian lama.
“Kita tidak bimbang tentang perkara lain kerana DAP memenangi Parlimen Sandakan sejak 2013, dan sejak 2018 kami kuasai DUN Tanjung Papat serta Elopura. Jentera kami sudah bersiap sedia sepenuhnya,” jelasnya.-UTUSAN









