KUALA LUMPUR: Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan penting yang perlu digerakkan seiring dengan peranan sekolah bagi memastikan proses pembelajaran lebih berkesan dan berterusan.

Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, perkembangan kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh persekitaran keluarga, justeru ibu bapa berperanan besar dalam membentuk corak pembelajaran dan keperibadian anak sejak awal.
Katanya, peranan ibu bapa sebagai pendidik utama di rumah perlu disokong dengan hubungan kolaboratif yang baik bersama guru bagi mewujudkan kesinambungan dalam pendidikan anak-anak.
“Dalam bidang perkembangan kanak-kanak, memang wajib melibatkan ibu bapa kerana anak tidak membesar sendiri. Mereka membesar dalam konteks keluarga dan ibu bapa merupakan tokoh penting dalam hidup mereka.
“Kanak-kanak berada di sekolah hanya beberapa jam, selebihnya bersama ibu bapa. Maka pihak sekolah perlu membina hubungan kolaborasi yang baik dengan ibu bapa,” katanya.
Mengulas hubungan ibu bapa dan guru, Hasnah berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu dapat membantu membentuk keyakinan diri serta identiti yang kukuh dalam kalangan kanak-kanak.
“Apabila ibu bapa dilibatkan dalam pendidikan awal kanak-kanak, maka ada kesinambungan dengan pendidikan di sekolah. Apabila ibu bapa dan guru bersatu hati dalam pendidikan anak, anak akan membesar dengan lebih yakin dengan identiti dan akar umbi mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya UKM, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, penglibatan aktif ibu bapa dalam pendidikan awal kanak-kanak juga dapat menyokong perkembangan emosi, sosial dan kognitif golongan itu secara menyeluruh.
Katanya, sokongan emosi dan kasih sayang daripada ibu bapa membantu membina keyakinan diri anak, manakala interaksi harian membentuk kemahiran sosial seperti komunikasi, tolak ansur dan kerjasama.
“Aktiviti pembelajaran di rumah menyokong perkembangan kognitif mereka termasuk kemahiran membaca, menulis dan berfikir secara kritis.
“Jika suasana di rumah tegang atau ibu bapa kurang memberi perhatian, ini boleh menjejaskan perkembangan emosi anak. Sebaliknya, ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik, memberi respon positif dan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak,” katanya.
Salleh berkata, ibu bapa juga boleh memberi galakan kepada anak-anak melalui aktiviti kreatif dan praktikal seperti melukis, memasak atau berkebun kerana ia bukan sahaja merangsang kreativiti, malah membina kemahiran menyelesaikan masalah dan berfikir secara logik.
“Ibu bapa juga boleh berbual dengan anak tentang pembelajaran di sekolah bagi memantau pemahaman mereka dan memberi sokongan yang sesuai.
“Selain itu, aktiviti fizikal seperti sukan atau permainan bersama di rumah bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi turut melatih kemahiran sosial dan kerjasama. Anak-anak juga belajar menunggu giliran dan menghormati peraturan,” katanya.

Bercerita pengalamannya, seorang ibu, Siti Fairuz Farhana Azmi berkata, penglibatannya dalam pembelajaran anak-anak sejak awal banyak membantu membentuk disiplin dan minat mereka terhadap ilmu.
Katanya, aktiviti harian di rumah seperti membaca bersama, menulis dan berbincang mengenai pelajaran di sekolah menjadi rutin yang menyeronokkan bagi anak-anaknya.
“Anak saya sudah menunjukkan minat untuk ke sekolah sejak usia tiga tahun lagi. Sejak kecil, saya dedahkan dia dengan buku-buku, jadi apabila tiba masanya memasuki prasekolah, dia begitu teruja dan proses pembelajaran menjadi lebih mudah serta menyeronokkan baginya.
“Memandangkan saya tidak bekerja, saya dapat meluangkan banyak masa bersama anak-anak. Setiap hari, saya berpeluang melihat perkembangan pemikiran dan keyakinan diri mereka. Anak-anak juga lebih berani bertanya dan berkongsi idea kerana mereka tahu ibu sentiasa mendengar dan memberi sokongan,” katanya.

Seorang ayah yang ingin dikenali sebagai Ahmad Jamal pula berkata, dia dan isteri menekankan pentingnya membina suasana pembelajaran yang menyeronokkan di rumah bagi mengekalkan minat anak-anak terhadap ilmu terutamanya ketika mereka memasuki prasekolah.
Katanya, pendedahan awal ini membantu anak-anak lebih bersedia menghadapi pembelajaran formal dan menyesuaikan diri dengan rutin sekolah.
“Setiap petang, kami akan membuat aktiviti bersama seperti eksperimen sains mudah, melukis atau berkebun. Aktiviti ini bukan sahaja merangsang daya imaginasi anak-anak, malah mengajar mereka cara menyelesaikan masalah dan bekerja dalam kumpulan.
“Saya akan selalu bertanya mengenai pengalaman mereka di prasekolah, tentang apa yang mereka pelajari dan memberi galakan. Cara ini membantu anak-anak lebih yakin berkongsi idea dan perasaan mereka selain meningkatkan keyakinan diri dan minat untuk belajar,” katanya. – UTUSAN










