PETALING JAYA: Polis sedang memburu rakan sekutu kepada rakyat Malaysia yang ditahan di Selatan Thailand minggu lalu selepas membawa 75 kilogram (kg) ketamin dalam kereta dipandunya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan mempunyai rangkaian di negara ini.
“JSJN sedang kenal pasti dan mencari rakan-rakan yang ada dalam sindiket ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 9 November lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan suspek di Selatan Thailand bersama 75kg ketamin dianggar bernilai RM9 juta.
Suspek dipercayai berperanan sebagai transporter atau penghantar dan disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah rentas sempadan.
Pada 6 November, tangkapan dilakukan di wilayah Chumphon selepas pihak berkuasa Thailand menemui 75kg ketamin dalam kenderaan dipandu suspek.
Suspek yang berusia 25 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah dan mempunyai empat rekod jenayah lampau.
Hussein berkata, suspek masih berada dalam tahanan pihak berkuasa Thailand bagi siasatan lanjut.
“Kita tunggu keputusan kes berkenaan di Thailand sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya. – UTUSAN







