KOTA KINABALU: Pilihan raya bukan medan untuk mana-mana pihak mencuba nasib, sebaliknya platform penting untuk rakyat memilih pemimpin berwibawa yang benar-benar bekerja untuk mereka.
Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, kehadiran banyak calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menimbulkan persoalan mengenai keseriusan calon berkenaan, malah ada yang menjadikan pilihan raya sebagai bahan mainan sehingga merugikan rakyat.
“Saya pun tak kenal semua. Tak pernah nampak pun di lapangan, tiba-tiba bawa surat pencalonan. Itu yang saya hairan.
“Kadang-kadang ia sudah jadi macam bahan mainan. Kesian rakyat Sabah sebenarnya.
“Kita tidak mahu parti dan calon seumpama itu. Pilihan raya bukan tempat cari nasib. Ini platform untuk rakyat pilih pemimpin. Kalau datang sekadar cuba nasib, itu sudah satu perkara yang tidak betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PRN Sabah menyaksikan 596 calon termasuk 74 calon Bebas untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari pengundian yang berlangsung pada 29 November ini.
Aliakbar berkata, beliau yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berdepan saingan 11 penjuru bagi merebut kerusi DUN Karambunai.
Katanya, walaupun mereka berhak berbuat demikian kerana Malaysia adalah negara demokrasi, pilihan raya adalah perkara serius untuk memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun.
“Pilihan raya platform penting untuk rakyat memilih pemimpin berwibawa yang benar-benar bekerja untuk mereka,” katanya.
Calon yang turut bertanding di DUN Karambunai ialah daripada Barisan Nasional, Parti Bumi Kenyalang, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Gemilang Anak Sabah, Gabungan Rakyat Sabah, Parti Damai Sabah, STAR, Warisan, Parti Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dan Parti Impian Sabah. – UTUSAN










