PETALING JAYA: Sekiranya Pakatan Harapan (PH) tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kekalahan itu bakal memberi risiko politik besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, PRN Johor kali ini memperlihatkan dua figura utama dalam kempen pilihan raya iaitu Anwar bagi pihak PH dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai pemimpin hadapan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Beliau berkata, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Onn Hafiz selaku Menteri Besar meletakkan risiko politik lebih besar kepada Anwar, sekiranya PH gagal menang di Johor.
“Anwar Ibrahim seorang Perdana Menteri Kerajaan Pusat manakala Onn Hafiz hanya seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri.
“Di sinilah letaknya risiko yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hassan berkata, sekiranya PH menang, Anwar tetap kekal sebagai Perdana Menteri dan kejayaan itu tidak dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa kerana beliau aktif berkempen hampir setiap hari di Johor.
Katanya, keadaan berbeza sekiranya Onn Hafiz berjaya mencipta kejutan dengan membawa BN membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, kejayaan itu boleh mengubah landskap politik negara dan melonjakkan kedudukan Onn Hafiz sebagai pemimpin muda dari Johor yang berpotensi melangkah lebih jauh di peringkat nasional.
“Jika Onn Hafiz yang daripada segi umur dianggap anak, masih digelar budak, berjaya membuat kejutan dengan memenangi PRN Johor sehingga boleh membentuk Kerajaan Johor, maka landskap politik negara akan berubah.
“Onn Hafiz akan muncul sebagai pemimpin muda dari Johor yang boleh melangkah jauh ke depan sebagai pemimpin nasional,” katanya.
Hassan berkata, kemenangan BN di Johor juga berpotensi menjadikan Onn Hafiz sebagai bintang baharu dari Selatan yang boleh disebut sebagai antara pemimpin masa depan negara.
Beliau berkata, kekalahan PH di Johor akan memberi kesan buruk terhadap imej Anwar sebagai panglima perang pilihan raya.
Katanya, keadaan itu akan mencalarkan wajah PH dan Anwar sebagai Perdana Menteri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Jika PH ditakdirkan tewas dalam PRN Johor kali ini, kesannya sangat buruk.
“Imej Anwar Ibrahim sebagai panglima perang yang dapat dikalahkan oleh Onn Hafiz akan mencalarkan wajah PH dan juga Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menghadapi PRU16 tidak lama lagi,” katanya.
Hassan berkata, kekalahan bukan pilihan kepada Anwar dan PH dalam PRN Johor kali ini.
Beliau berkata, pemimpin, anggota dan penyokong PH perlu bekerja kuat dalam tempoh akhir kempen bagi memastikan kemenangan gabungan itu.
“Jadi kalah dalam PRN Johor kali ini bukan satu pilihan kepada Anwar Ibrahim dan PH.
“Dalam tempoh tak sampai seminggu ini, para pemimpin, anggota dan penyokong PH yang dikatakan berjumlah lebih sejuta orang itu perlulah bekerja kuat bagi menentukan PH menang. Tiada pilihan lain,” katanya. – UTUSAN










