Pesara kerajaan rayu biaya bedah jantung anak RM70,000

Pesara kerajaan rayu biaya bedah jantung anak RM70,000

SALEHUDIN Mat Rasad (kiri) dan Nor Ezah Abdul Rahman menunjukkan kesan pembedahan jantung berlubang Mohammad Azim ketika berusia lapan tahun di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang pesara kerajaan merayu bantuan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan jantung anak bongsunya yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Pesara berkenaan, Salehudin Mat Rasad, 60, yang juga wartawan sambilan Utusan Malaysia, berkata beliau kini buntu memikirkan cara mendapatkan lebih RM70,000 dalam tempoh singkat bagi menampung kos pembedahan anaknya, Muhammad Azim, 18, yang menghidap penyakit jantung kronik sejak bayi.

“Saya pernah bantu ramai pesakit melalui liputan media, tetapi kali ini saya sendiri diuji. Sebagai pesara, memang berat untuk mencari jumlah sebesar itu dalam masa yang singkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jerantut, semalam.

Menurutnya, sepanjang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, semua kos rawatan anaknya ditanggung oleh kerajaan. Namun selepas bersara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) tidak lagi mengeluarkan surat pengesahan tanggungan bagi anak berusia lebih 18 tahun.

“Sekarang, segala kos rawatan perlu saya tanggung sendiri. Dengan pencen terhad dan tanggungjawab keluarga, saya benar-benar buntu. Saya hanya berharap ada insan dermawan yang sudi membantu demi menyelamatkan nyawa anak saya,” katanya.

Sementara isterinya, Nor Ezah Abdul Rahman, 52, turut meluahkan rasa sedih me­ngenangkan keadaan anak me­reka yang semakin lemah.

“Doktor mengesahkan degupan jantungnya semakin lemah. Walaupun sudah melalui tiga kali pembedahan besar sebelum ini, kali ini keadaannya lebih berisiko,” katanya.

Muhammad Azim mula dirujuk ke IJN pada Jun 2008 ketika berusia setahun enam bulan selepas dikesan mempunyai kecacatan jantung dan ketiadaan salur darah utama ke paru-paru. Sejak itu, tiga pembedahan besar dilakukan bagi memperbaiki fungsi jantungnya.

Namun, hasil pemeriksaan terbaharu pada 11 Jun lalu mendapati terdapat satu lagi lubang besar di jantung yang memerlukan pembedahan se­gera.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun CIMB Salehudin Mat Rasad di 7035214973 atau menghubungi talian 0179757138/0199457739. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN