RAUB: Seorang pesara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 35 tahun, iaitu tiga kali dalam tempoh sehari di rumah mereka di Karak, Bentong, dekat sini, bulan lalu.
Tertuduh, Hanipah Ali, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sumbang berkenaan terhadap anak perempuannya di rumah mereka di Taman Makmur Jaya, Karak, antara pukul 10 malam pada 17 Oktober hingga 5 pagi keesokan harinya.
Ketika kejadian, tertuduh difahamkan tinggal serumah bersama isteri dan mangsa. Bagi setiap pertuduhan, Hanipah didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding itu, tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia hanya bergantung kepada pencen bulanan sekitar RM400 dan masih menanggung isterinya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan bahawa tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Hakim Noor Zaihan turut menetapkan 26 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam bela. – UTUSAN










