KUALA LUMPUR: Hasrat Pearly Tan-M. Thinaah untuk mengulangi magis kemenangan final Sukan SEA tidak kesampaian apabila beregu No.2 dunia itu tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, semalam.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, pasangan negara itu gagal mengekalkan dominasi ke atas gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, yang bangkit dengan aksi lebih tersusun dan agresif.
Kekalahan tersebut menjadi yang pertama buat Pearly-Thinaah selepas empat kemenangan berturut-turut ke atas pasangan Indonesia itu dalam rekod pertemuan sebelum ini.
Beregu Indonesia jelas mengambil iktibar daripada kekalahan mereka di final Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus tampil lebih bersedia dari segi taktikal dan mental.
Keputusan itu turut mengesahkan kemarau gelaran beregu wanita negara di Terbuka Malaysia terus berlanjutan sejak kali terakhir dimenangi oleh Teoh Siew Yong-Rosalind Singha Ang pada 1965. – UTUSAN











