PHNOM PENH: Taikun kelahiran China, Chen Zhi, yang dituduh mengendalikan pusat penipuan siber menggunakan buruh paksa di Kemboja, ditahan di negara itu dan diekstradisi ke China, menurut pihak berkuasa Phnom Penh.
Chen juga didakwa oleh Amerika Syarikat (AS) berkaitan operasi pusat penipuan berkenaan.
“Pihak berkuasa Kemboja menahan tiga warga China iaitu Chen Zhi, Xu Ji Liang dan Shao Ji Hui, dan mengekstradisi mereka ke China,” menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Kemboja.
Menurut kementerian itu, operasi penahanan itu dilaksanakan pada Selasa dalam skop kerjasama membanteras jenayah rentas negara dan berdasarkan permintaan pihak berkuasa China selepas beberapa bulan kerjasama siasatan bersama.
Kewarganegaraan Kemboja milik Chen turut dibatalkan melalui Dekri Diraja pada Disember lalu, tambah kenyataan berkenaan.
Pihak berkuasa China bagaimanapun tidak segera mengulas mengenai penahanan dan ekstradisi Chen lewat Rabu.
Pada Oktober lalu, pihak berkuasa AS membuka pertuduhan terhadap Chen, seorang ahli perniagaan yang didakwa mengetuai kem buruh paksa di Kemboja, di mana pekerja yang diperdagangkan dipaksa menjalankan skim penipuan mata wang kripto yang meraih keuntungan berbilion dolar.
Chen merupakan pengasas Prince Holding Group, sebuah konglomerat multinasional yang menurut pihak berkuasa dijadikan pelindung kepada salah satu organisasi jenayah rentas negara terbesar di Asia, menurut Jabatan Kehakiman AS.
Jabatan itu juga memfailkan tindakan rampasan aset terbesar dalam sejarahnya iaitu kira-kira 127,271 bitcoin bernilai lebih AS$11 bilion (RM44.6 bilion) pada harga semasa.
Penipuan dalam talian itu menyasarkan mangsa di seluruh dunia dan mengakibatkan kerugian berbilion dolar.
Kemboja menempatkan puluhan pusat penipuan dengan puluhan ribu individu menjalankan kegiatan penipuan dalam talian, ada secara sukarela dan ada yang diperdagangkan dalam satu industri haram bernilai berbilion dolar, menurut pakar. -AGENSI










