KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bukan sekadar kubu penting bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetapi turut menjadi cerminan kekuatan sebenar Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sejak 1999.
Semenjak kerusi Lamag diwujudkan pada PRN 2020 melalui persempadanan semula, Bung telah memegang mandat sebagai ADUN kawasan itu selama lebih lima tahun. Kedudukannya sebagai wakil rakyat di dua peringkat negeri dan Persekutuan mengukuhkan pengaruh politiknya di Kinabatangan, sekali gus menjadikan perebutan Lamag antara tumpuan utama pada PRN kali ini.
Untuk PRN kali ini, kerusi tersebut menyaksikan persaingan enam penjuru melibatkan BN, GRS, Warisan, PN, Parti Impian Sabah (PIS) serta seorang calon Bebas. Saingan pelbagai blok ini menggambarkan landskap politik Sabah yang dinamik dan sukar dijangka, apatah lagi apabila setiap parti membawa kekuatan serta jaringan tempatan tersendiri.
Dengan 13,859 pengundi berdaftar, Lamag kekal sebagai kerusi luar bandar yang mempunyai komposisi pengundi setempat yang tinggi. Pertambahan pengundi muda selepas pelaksanaan Undi18 pula dijangka menjadi faktor penentu dalam mempengaruhi pola sokongan kali ini.
Keputusan PRN 2020 menunjukkan Bung menang dengan majoriti hanya 661 undi, setelah meraih 3,035 undi dalam saingan tiga penjuru. Majoriti tipis itu memberi gambaran bahawa Lamag bukan kerusi selamat, sebaliknya tergolong sebagai kerusi marginal yang boleh berubah arah dengan peralihan sokongan yang kecil.
Unjuran semasa bagi PRN 2025 menunjukkan pertandingan enam penjuru membawa implikasi bercampur. Di satu sisi, perpecahan undi pembangkang berpotensi menguntungkan BN, khususnya kepada Bung sebagai penyandang yang memiliki jentera kuat dan akar umbi mantap.
Namun di sisi lain, peningkatan jumlah calon juga membuka ruang kepada kejutan, terutama jika mana-mana blok pembangkang berjaya menarik undi pengundi muda serta kelompok atas pagar.
Seperti kebanyakan kawasan luar bandar lain di Sabah, isu utama di Lamag tidak banyak berbeza, pembangunan asas merangkumi jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan peningkatan taraf hidup masyarakat desa. Rekod penyandang dalam menangani isu-isu ini akan terus diuji berbanding tawaran perubahan yang dibawa pencabar-pencabar baharu.
Peranan Bung sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selama lebih dua dekad turut mempengaruhi persepsi pengundi. Bagi sebahagian penduduk, pengalaman panjang beliau dianggap nilai tambah dari segi keupayaan membawa isu daerah ke peringkat lebih tinggi dan meraih peruntukan pembangunan.
Analisis awal menunjukkan PRN kali ini ibarat referendum terhadap kedudukan Bung sebagai tokoh politik Sabah. Jika beliau berjaya mempertahankan Lamag, ia bukan sahaja mengekalkan pengaruh BN di Kinabatangan, tetapi turut mengesahkan penerimaan pengundi terhadap kepimpinannya di tengah-tengah persaingan politik yang semakin mencabar. – UTUSAN










