IPOH: Perak terus merekodkan prestasi kewangan positif apabila kerajaan negeri mencatat lebihan atau surplus tiga tahun berturut-turut dengan rekod kutipan hasil melebihi RM1.24 bilion setakat 24 November.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan mengurus fiskal negeri secara berhemat telah mengembalikan kekuatan kewangan Perak selepas melalui tempoh mencabar tiga hingga empat tahun sebelum ini.
“Daripada mencatat defisit RM78 juta pada 2020 dan RM6.59 juta pada 2021, negeri ini kembali mencatatkan lebihan untuk tiga tahun berturut-turut.
“Berdasarkan rekod, Perak mencatatkan lebihan atau surplus sebanyak RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta pada 2023 dan RM45.6 juta pada 2024.
“Pencapaian itu mengesahkan bahawa disiplin tatakelola dan kecekapan pentadbiran adalah kekuatan sebenar Perak dalam mendepani apa jua cabaran ekonomi,” katanya ketika berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan DUN Perak, di sini semalam.
Menurut beliau, Perak sekali lagi merekodkan sejarah apabila seawal 30 September lalu, kutipan hasil negeri sudah pun melepasi angka RM1 bilion sekali gus membuktikan kedudukan fiskal negeri yang kian mengukuh.
“Setakat semalam, kerajaan negeri telah pun berjaya merekodkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.24 bilion.
“Ini bukti bahawa kita semakin gagah dalam membina kekuatan masa hadapan. Insya-Allah, kita berada pada landasan yang betul untuk merekodkan surplus buat kali keempat berturut-turut,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi lain atas kejayaan meningkatkan hasil negeri. – UTUSAN










