Pensijilan halal tetap di bawah Jakim - Mohd. Na’im

Pensijilan halal tetap di bawah Jakim – Mohd. Na’im

MOHD. Na'im Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan kuasa pensijilan halal negara kekal berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menegaskan tidak berlaku sebarang usaha atau perancangan untuk mengambil alih fungsi itu oleh mana-mana pihak luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Jakim akan terus memegang mandat sebagai autoriti tertinggi dalam pengeluaran sijil halal Malaysia yang sudah sekian lama menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

“Tiada isu langsung mengenai kuasa halal Jakim diambil alih oleh pihak luar. Kuasa mengeluarkan sijil halal kekal di bawah Jakim dan telah lama diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kita akan terus mempertahankan dan memperkasa sistem ini termasuk mempercepatkan proses tanpa menjejaskan integriti pensijilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional Penjagaan Spiritual Tahun 2025, di sini hari ini.

Mohd. Na’im berkata, keyakinan global terhadap sistem pensijilan halal Malaysia terletak pada ketelusan, disiplin dan ketegasan yang dilaksanakan Jakim selama puluhan tahun.

“Selama ini Jakim berada di hadapan dalam standard halal dunia. Integriti sistem halal kita adalah aset negara dan kita tidak akan kompromi,” katanya.

Tambah beliau, usaha pemerkasaan sistem halal sedang dilaksanakan termasuk penambahbaikan proses dan penggunaan teknologi bagi mempercepatkan urusan permohonan serta pemantauan, namun tanpa menjejaskan ketelitian dan kepatuhan syariah.

“Kita mahu proses lebih pantas tetapi nilai dan ketegasan halal mesti kekal. Itu garis pemisah yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, terdapat dakwaan kononnya Malaysia melonggarkan standard halal susulan Perjanjian Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat.

Mohd. Na’im dilaporkan menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut serta menyifatkannya sebagai tidak benar dan berpotensi menjejaskan reputasi sistem halal negara. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN